Pilihan raya kecil DUN Sungai Limau dijangka menyaksikan PAS mencalonkan dua calon muda termasuk setiausaha khas kepada bekas menteri besar, Muzaini Azizan yang juga setiausaha PAS kawasan Jerai.

Seorang lagi adalah Ketua Penerangan PAS Jerai Musoddak Ahmad dilihat sebagai calon utama kerana sudah pengalaman bertanding menentang ADUN Guar Chempedak dan Exco Industri dan Pelaburan, Datuk Ku Rahman Ku Ismail pada pilihan raya umum lalu, lapor Berita Harian.

Ia berdasarkan kepada kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan bahawa PAS dijangka menampilkan calon muda dan yang mampu memikul tangungjawab serta karisma hampir setanding dengan Azizan.

Laporan itu juga menyebut, Musoddak dilihat mempunyai hubungan yang baik dengan kepimpinan PAS pusat dan negeri dan dikatakan bersaing dengan Muzaini yang mempunyai ketokohan dalam menjalankan tanggungjawab parti selepas ketiadaan Tan Sri Azizan Abdul Razak di kawasan itu.

Sementara itu, bagi calon BN, laporan itu berkata Umno dijangka mengemukakan tiga nama iaitu Ketua Umno bahagian Jerai Datuk Mohd Suhaimi Abdullah, timbalannya Fadzillah Mohd Ali dan Pegawai Agama Daerah Kubang Pasu Syeikh Ahmad Fisol Omar untuk pertimbangan.

Laporan itu memetik sumber memberitahu pemilihan Mohd Suhaimi dan Fadzillah mungkin berdasarkan pengaruh mereka di kalangan rakyat di bahagian Jerai selain mempunyai pengalaman bertanding pada pilihan raya umum (PRU) 2004 dan PRU-13 lalu.

Dalam laporan itu juga menyebut, Umno mungkin menampilkan calon berlatarbelakang agama iaitu Syeikh Ahmad Fisol yang juga anak kelahiran Padang Lumat, Sungai Limau selain mempunyai reputasi baik di kalangan penduduk tempatan.