Rabu, 23 Oktober 2013

Satu lawan satu di Sg Limau




 
GALERI FOTO
MALAYSIA KINI
 
 
Penamaan calon bagi pilihan raya N20 Sungai Limau akan berlangsung di Dewan Datuk Madi Yan, Kedah pagi ini.

NONEPencalonan akan bermula jam 9 pagi dan penyokong BN serta Pakatan Rakyat dijangka mula berkumpul di pusat penamaan calon seawal jam 8 pagi.

Personaliti-personaliti penting dari Pakatan Rakyat dan BN dijangka turun mengiringi calon masing-masing untuk menyerahkan borang.

Jika semuanya berjalan seperti dirancang, pekan Sungai Limau yang tenang ini akan menyaksikan pertembungan dua penjuru di antara calon BN, Dr Ahmad Sohaimi Lazim, 52 tahun menentang calon PAS, Mohd Azam Abdul Samat, 37 tahun.

Di atas kertas, Sohaimi dilihat mempunyai profil yang lebih menonjol sebagai bekas pensyarah kanan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

azam samad sungai limauAzam pula seorang penolong kanan ko-kurikulum di sebuah sekolah agama di Kedah.

Kempen akan berlangsung selama 12 hari dan hari mengundi jatuh pada 4 November.

Kerusi Sungai Limau yang terletak dalam Parlimen Jerai kosong berikutan kematian anggota dewan undangan negeri merangkap bekas menteri besar, Tan Sri Azizan Abdul Razak pada 26 September.

Pada pilihan raya 5 Mei lalu, Azizan menewaskan Fazillah Mohd Ali daripada BN dengan majoriti 2,774 undi.

Azizan menang dengan 13,294 undi berbanding 10,520 yang dimenangi BN - dan calon-calon bebas memperolehi 100 dan 84 undi.

Bagaimana pun, Kedah jatuh ke tangan BN selepas pilihan raya Mei lalu.

LAPORAN LANGSUNG

08:00 Trafik ke pusat penamaan calon di Dewan Datuk Madi, Yan bergerak lancar dengan kawalan polis.

Beberapa gerai jualan air dan makanan ringan didirikan di kiri dan kanan jalan beberapa puluh meter dari pusat penamaan menjadikan suasana seperti pasar pagi hujung minggu.

NONE08:30 Pemimpin tertinggi Pakatan, termasuk Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden PKR Azmin Ali, Naib Presiden PKR Tian Chua dan Pengarah Pilihan Raya PAS DUN itu Datuk Mahfuz Omar, kelihatan bersama Azam.

Ratusan penyokong PAS yang menyertai calon mereka bersama pemimpin tertinggi Pakatan diminta bergerak ke Pantai Murni daripada pusat penamaan calon.

Mereka diminta berbuat demikian kerana berkumpul dalam jarak yang tidak dibenarkan. Rombongan BN dijangka tiba tidak lama lagi.

NONEPenyokong parti Islam itu kelihatan tidak gembira kerana sedang teruja mahu menyaksikan acara hari ini dari dekat.

08:36 Penyokong PAS mula berarak melalui penamaan calon sambil bertakbir berulang kali.

08:45 Lautan penyokong PAS makin rancak berselawat dan melaungkan slogan anti-BN. Manakala penyokong BN pula, kira-kira 500 orang - yang lebih kecil daripada kumpulan PAS - menyanyikan lagu parti dan melaungkan slogan "Hidup BN".

Heavyweight Umno termasuk Datuk Seri Zahid Hamidi dan Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin kelihatan bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengetuai kumpulan itu.

NONE09:00 Tepat jam 9 calon BN masuk ke dewan menyerahkan borang pencalonan. Ketika calon menghantar borang penamaan, penyokong kedua-dua menunggu di luar dengan penuh semangat.

"Jantung kami berdebar, tak sabar hendak menang," kata Umi Haida Mahmood, 50-an, yang datang dari Pendang seawal jam 7 pagi.

NONEManakala seorang pemuda Fitri Badaruddin, 22, dari Bukit Chira pula kelihatan membawa poster berkaitan kenaikan harga petrol RON95 sebanyak 20sen.

"Terima kasih kepada BN!" laungnya kepada orang ramai.

Polis selepas itu memasang kawat berduri di hadapan penyokong BN.

09:15 Di luar pusat penamaan calon, Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir memberitahu pemberita, BN yakin merampas kerusi Sungai Limau.

Beliau berharap angin perubahan akan bertiup kencang di kalangan pengundi kawasan itu.

Unit Amal pakai topeng
Unit Amal PAS kali ini lebih bersedia apabila terdapat sebahagian mereka memakai topeng bagi menghadapi gas pemedih mata.

NONEBagaimanapun, terdapat juga gelagat mencuit hati apabila terdapat tiga penyokong wanita Umno termasuk ke dalam kumpulan PAS.

"Kesian, depa sesat, ini kawasan bendera hijau," kata seseorang yang disambut gelak ketawa, sebelum trio itu bergerak ke kumpulan BN.

Anggota Parlimen Cheras daripada DAP Tan Kok Wai berkata, walaupun hilang negeri, rakyat DUN itu perlu menjadi agen semak dan imbang.

"Kita akan memang. Azizan sangat popular di sini," katanya.

Khairy mahu bawa peluang kerja
NONESementara itu, Ketua Pemuda Umno merangkap Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sewaktu ditemui di khemah calon dalam kawasan pusat penamaan berikrar untuk membawa lebih banyak peluang pekerjaan buat golongan muda di Sungai Limau.

"Kita akan bawa lebih banyak peluang pekerjaan ke sini. Saya amat bersetuju dengan menteri besar bahawa kawasan ini perlu dibangunkan.

"Permintaan saya kepada anak muda di sini, berilah peluang BN jadi waka]il rakyat di sini kerana kita mahu rakyat di sini selari dengan kerajaan negeri," katanya kepada pemberita.

Jenaka pedas Azmin pada Mukhriz
09:25 Suasana di dalam kawasan penamaan calon ceria dan ibarat majlis kenduri apabila rombongan pimpinan Pakatan Rakyat mengunjungi khemah pimpinan BN yang terletak kira-kira 30 meter sahaja di antara satu sama lain.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali berbual-bual mesra dengan TPM, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan dua naib presiden Umno, Datuk Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Mahfuz dan Azmin sempat mencuri peluang mengucapkan tahniah kepada Zahid dan Hishammuddin.

NONEAzmin yang kemudian menemui Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir sempat mengusik Mukhriz berkenaan keputusan pemilihan naib presiden Umno yang lalu.

Mukhriz memperolehi jumlah undi popular yang lebih tinggi berbanding Hishammuddin namun hanya berjaya memperolehi 91 undi keseluruhan berbanding 100 undi yang diperolehi Hishammuddin untuk tempat ketiga naib presiden.

"Dulu suruh pakai undi popular tak mahu, sekarangkan dah menyesal," kata Azmin sambil menepuk bahu Mukhriz yang hanya tertawa mendengar usikan tersebut.

Shafie: Ahli PAS boleh undi BN
09:40 Naib Presiden Umno Mohd Shafie Apdal menggesa pengundi memikirkan masa depan mereka dengan serius, terutamanya berhubung pembangunan lemah di kawasan itu selama 23 tahun dimenangi PAS.

"Saya tahu ramai daripada mereka anggota PAS, tetapi ini tidak bermakna mereka tidak boleh mengundi BN," katanya kepada pemberita.

Beliau menegaskan keperluan memilih calon BN supaya penyelarasan dengan kerajaan negeri dan pusat mudah dan memastikan pembangunan lancar di kawasan itu.

Penyokong BN ketika itu kelihatan membawa kain rentang dan plakad bertulis "Undi untuk transformasi".

09.53 Pegawai SPR Abdul Rashid Othman mengumumkan penamaan calon tamat walaupun masa sebenar masih berbaki 7 minit.

Tiada tanda-tanda calon bebas akan muncul.

NONE10.15 Penamaan calon secara rasmi ditutup. Sah pertandingan satu lawan satu antara calon PAS Mohd Azam Abd Samat dan calon BN Ahmad Sohaimi Lazim di Sungai Limau.

Ahmad Sohaimi diumumkan sebagai calon pertama menyerahkan borang pada 9.04 diikuti Mohd Azam pada 9.05 pagi.

Mohd Azam dalam sidang media ringkas selepas penamaan calon ditutup menggesa kerajaan negeri agar tidak meminggirkan penduduk Sungai Limau dalam pembangunan Kedah.

"Kita harap pihak berwajib akan berusaha walaupun kita berada di kawasan luar bandar, tetapi tidak dianaktirikan bagi mendapat wifi percuma," katanya.

10.20 Di pintu pusat penamaan, Mohd Azam mengucapkan terima kasih kepada penyokong dan mendesak kerajaan negeri tidak mengetepikan penduduk Sungai Limau dalam pembangunan Kedah.

Hadi: Ikut rekod kita menang
10:30 Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yakin PAS mampu mempertahankan kerusi Sungai Limau berdasarkan rekod lampau mereka di kawasan ini.

NONE"Kalau pilihan raya umum boleh menang, Insya-Allah pilihan raya ini juga kita boleh menang," kata Hadi kepada pemberita sewaktu ditemui di khemah calon dalam kawasan pusat penamaan calon.

Penyokong dan pimpinan tertinggi kedua-dua pihak sudah mula meninggalkan pusat penamaan calon.

10:40 Calon PAS yang mengambil kesempatan menyampaikan ucapan terima kasih kepada penyokong-penyokong PAS di tepi pintu pagar pusat penamaan calon sekali lagi.

Beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada bondanya yang memberi restu kepada beliau untuk bertanding dalam pilihan raya kecil kali ini.

Muhyiddin: Sukar tapi dapat rampas
10:45 Muhyiddin dalam sidang media selepas tamat penamaan calon mengakui BN bakal melalui laluan sukar kerana Sungai Limau merupakan kawasan kuat PAS.

NONE"Peluang kita untuk menang tidak sebaik PAS," katanya.

Katanya, walaupun pertemuan satu lawan satu baik untuk BN, cabaran yang bakal diberikan parti lawan masih kuat.

"BN dulu kalah di kerusi ini dengan majoriti 2,774 undi, tetapi ia tidak bermakna kita tidak dapat merampas kembali," tegasnya.

Muhyiddin menjangkakan Pakatan akan membangkitkan isu seperti kos hidup, cukai barang dan perkhidmatan dan belanjawan akan datang.

Bagaimanapun, katanya, BN akan menjelaskan perkara itu satu persatu semasa tempoh berkempen.

NONEMuhyiddin juga meminta pembangkang tidak membuat provokasi di kawasan itu bagi mewujudkan suasana kempen yang damai dan tidak agresif.

11.00 Hujan mulai turun renyai-renyai dan orang ramai mula bersurai. Kelihatan pemberita mula menulis laporan - sebahagiannya kecewa kerana talian Internet yang perlahan.

Ketika pemimpin BN dan penyokongnya bersurai, PAS masih sempat mengadakan ceramah mini selama 20 minit.

Tiada ulasan: