Khamis, 24 Oktober 2013

RM3.6 bilion wang rakyat tanggung SYABAS, tapi perkhidmatan mengecewakan


IMG_2572
IMG_2575 

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan dipertikai apabila terus memanjakan syarikat kroni Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) Sdn Bhd dengan pemberian pinjaman sebanyak RM151 juta dana awam walaupun syarikat itu mempunyai hutang tertunggak RM2.9 bilion kepada kerajaan sebelum ini.

Tambah menghairankan, syarikat kroni itu terus mendapat bantuan kewangan kerajaan walaupun tahap prestasi perkhidmatan mereka buruk dalam membekalkan air terawat kepada pengguna sejak menandatangani perjanjian konsesi pada 2004.

Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata, tindakan kerajaan menggunakan dana awam bagi menyelamatkan syarikat kroni adalah tidak sepatutnya berlaku memandangkan prestasi buruk syarikat berkenaan.

“Apa yang berlaku bukan baru, pada 2009, Kerajaan Persekutuan memberi pinjaman mudah tanpa faedah sebanyak RM320.8 juta manakala pada Oktober 2011, SYABAS diberi lagi pinjaman sebanyak RM110 juta.

“Semalam Puncak Niaga Holdings Berhad mengumumkan bahawa kerajaan memberi lagi pinjaman sebanyak RM151 juta kepada SYABAS. Mereka diberi tempoh tiga tahun untuk membayar balik pinjaman dengan faedah hanya tiga peratus,” kata Pua.

Berikutan itu, Pua menjelaskan akibat daripada tindakan Kerajaan Persekutuan dan kegagalan SYABAS menjelaskan hutangnya, kerajaan terpaksa menanggung hutang terkumpul syarikat milik kroni itu daripada RM2.9 bilion kepada RM3.6 bilion.

“Ini semua dana awam, wang pembayar cukai. SYABAS diselamatkan dalam bentuk pinjaman dan geran diberi bagi mengelakkan syarikat itu ‘tutup kedai’ sejak Disember 2009.

“Kami sangat kecewa, walaupun wang rakyat digunakan untuk menyelamatkan syarikat itu, perkhidmatan mereka kepada rakyat tidak memuaskan,” katanya lagi.-Roketkini.com

Tiada ulasan: