PETALING JAYA - Pas telah mempunyai seorang calon pilihan untuk dipertandingkan di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Sungai Limau, pada 4 November depan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali berkata, calon yang dipilih itu antara calon terbaik daripada lapan orang calon yang telah disenaraipendekkan.

Menurutnya, calon tersebut juga memenuhi kriteria yang diinginkan parti dan penduduk di kawasan tersebut.

"Untuk PRK ini kita telah putuskan calonnya, kita telah bawa ke kepimpinan tinggi PR, semua telah setuju.

"Dekat saya memang sudah ada calon, tapi kita akan umumkan pada 21 Oktober depan," katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR, di sini, hari ini.

Tambahnya, calon yang dipilih itu juga adalah calon pertama kali bertanding.

"Dia muda daripada saya, dan dia memang pertama kali bertanding," katanya.

Sementara itu, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan pimpinan PR akan memberi sokongan yang padu kepada calon yang dipilih Pas.

"Seluruh pimpinan PR akan bagi sokongan yang padu kerana kerusi itu kerusi Pas.

"Kita yakin Insya-ALLAH kita akan pertahankan, insya-ALLAH Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan umumkan calon Pas yang disokong padu oleh PR pada 21 Oktober di Sungai Limau," katanya.

PRK Dun Sungai Limau akan diadakan pada 4 November depan dan proses penamaan calon akan dijalankan pada 23 Oktober.