Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Supritendan Tan Ah Chua berkata satu pasukan petugas khas telah ditubuhkan bagi menyiasat kes berkenaan dan menjejaki suspek.
Gambar suspek yang diambil daripada skrin rakaman kamera litar tertutup (CCTV) telah pun disebarkan oleh pihak media.
Dalam insiden yang berlaku pada pukul 6.18 petang Rabu, suspek menembak mati Norazita Abu Talib dengan 'pump gun' sebaik sahaja mangsa membuka pintu bilik kebal bank berkenaan di Jalan USJ Sentral 2.
Supek kemudiannya melarikan diri dengan menaiki motosikal dan kali terakhir dilihat memakai uniform pengawal keselamatan berwarna putih bersama jaket berwarna hitam.
Insiden berkenaan turut menjadi bualan hangat di laman Twitter dengan ramai pengguna laman media sosial berkongsi berita mengenainya di Facebook dan Twitter.
Khabar angin turut mengatakan suspek telah berjaya ditahan di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) ketika cuba melarikan diri ke Sabah di Twitter pada pukul 11 pagi, bagaimanapun pihak polis mengesahkan berita berkenaan adalah palsu.
Bukan itu sahaja, gambar mangsa ditembak mati turut tersebar di Internet pada malam Rabu, dengan ramai yang berang dan mengecam tindakan tersebut dengan menyifatkan mereka yang memuat naik serta berkongsi gambar tersebut sebagai tindakan tidak beretika.
Ramai juga yang menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang merupakan ibu kepada dua orang anak.
Mereka yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta melaporkannya di balai polis terdekat atau menghubungi talian hotline 03-20529999.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan