Rabu, 2 Oktober 2013

Pendidikan: Selangor terus bantu SAR, SJKC dan SJKT

Saidah Hairan,


SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor akan meneruskan program bantuan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT).

Demikian dinyatakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan negeri, Dr Halimah Ali.

Di samping, jelasnya kerajaan negeri berusaha untuk menambahkan bilangan Maahad Tahfiz Integrasi Sains.

“Insya Allah kita juga akan tambahkan lagi Maahad Tahfiz Integrasi Sains supaya setiap daerah ada,” ujarnya ketika ditemui Harakahdaily di pejabatnya di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, trend sekarang nampaknya permintaan untuk sekolah menengah aliran agama semakin meningkat.

“Ini cabaran kita sebab keupayaan kita buat masa ini hanya mampu mendirikan sekolah rendah agama,” ujarnya.

Katanya lagi, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) hanya ada sekolah rendah agama sahaja.

“Bila sampai nak masuk sekolah menengah hanya 23 Sekolah Agama Bantuan Kerajaan dan ada 3 bawah Jais iaitu Mahad Tahfiz Integrasi Sains.

“Jadi kesemuanya (sekolah peringkat menengah) ada 26 sahaja sedangkan ada lebih 250 sekolah rendah,” jelasnya.

Beliau memberi contoh, pelajar yang mengambil PSRA darjah enam adalah 35,000 pelajar tetapi katakan 30,000 yang lulus sedangkan hanya 3,000 sahaja yang mampu diserap ke dalam sekolah agama menengah setakat ini.

“Jadi antara cara kita hendak menyelesaikan masalah peningkatan tapi kita tidak cukup sekolah menengah agama ialah kita akan wujudkan Kafa menengah juga di tiap-tiap daerah.

“Sekarang ini ada satu di Kampung Delek itu. Itu projek perintis,” jelasnya lagi.

Beliau menambah, kerajaan negeri juga telah merangka gaji minimum guru Kafa iaitu RM1,500.

Tiada ulasan: