Saranan ini bukan saja untuk mempastikan perjalanan pemilihan Umno bahagian berkenaan kali ini berjalan dengan adil dan licin.
KINABATANGAN: Rata-rata ahli dan para pemimpin akar umbi Umno di bahagian ini menyambut baik desakan dibuat seorang pemimpin kanan parti di sini agar Urusetia Pemilihan UMNO bahagian Kinabatangan yang telah dibentuk sebelum ini ditukar dan diambilalih oleh Urusetia Pemilihan Badan Perhubungan Umno Sabah.
Mereka berkata, saranan Naib Ketua Umno Bahagian Kinabatangan, Azman Haji Mastar terhadap perkara itu bukan saja untuk mempastikan perjalanan pemilihan Umno bahagian berkenaan kali ini berjalan dengan adil dan licin, tetapi menepati kehendak mentrasformasikan parti sebagaimana dilaung-laung pucuk pimpinan Umno.
Sebahagian ahli juga mahu supaya mereka yang terlibat termasuk Timbalan Ketua Umno Bahagian itu diambil tindakan tegas kerana mempunyai petunjuk jelas terlibat menyalahgunakan kuasanya dalam campurtangan semua pemilihan tiga sayap pergerakan itu.
“ Kami merasakan ianya penting agar suasana pemilihan melibatkan jawatan Ketua Bahagian, Timbalan Ketua, Naib Ketua dan seterusnya 20 jawatan Ahli Jawatan Kuasa Bahagian itu, selain mengundi pertandingan di peringkat Majlis Tertinggi Umno berjalan dengan adil dan selesa pada 19 Oktober ini,” kata Samry Sher Mohamad.
Ketua Zon UMNO Mukim Paris yang memiliki lebih 2,000 ahli parti itu berkata, desakan dan rayuan dibuat Azman itu sesuai dengan apa yang telah berlaku pada pemilihan Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri yang dilaporkan dicampuri oleh pihak Ahli Jawatan Kuasa Umno Bahagian ini.
Ahli Jawatan Kuasa Umno Bahagian Kinabatangan, Mohd Husin berkata, kenyataan Azman kelmarin berupa satu pendedahan terhadap tindak tanduk dalaman bahagian itu dalam pemilihan kali ini yang amat wajar diambil tindakan tegas kerana merosakkan imej dan reputasi Umno bahagian ini.
Tegas Mohd Husin yang akan mempertahankan jawatannya kali, pada pemilhan tiga sayap pergerakan itu 12 Oktober lalu, beberapa Ahli Jawatan Kuasa Bahagian Kinabatangan diketuai Timbalan Ketua Bahagiannya dilihat oleh ramai perwakilan memasuki Dewan Pemilihan dan Pengiraan undi tiga sayap parti itu.
“ Saya dimaklumkan ramai perwakilan wanita terhadap tindakan tindakan individu bahagian itu yang akhirnya mendesak agar penama itu meninggalkan kawasan pemilihan dan pengiraan undi wanita,” katanya.
Menurut ramai perwakilan lagi, mereka melihat Azman turut menemui timbalan Ketua bahagian itu yang masih berada di pusat pengiraan undi pergerakan Pemuda dan bertindak menegurnya kerana telah menyebabkan perjalanan pemilihan dan pengiraan undi sayap kanan parti itu terganggu.
Seorang lagi pemimpin akar Umbi Mohamat Laja berkata, perbuatan dilakukan Timbalan Ketua Bahagian itu telah jelas mencemarkan integriti Umno bahagian berkenaan pada pemilihan kali ini.
“ Saya meminta berdasarkan kepada bukti dan laporan daripada para perwakilan yang menyaksikan perbuatannya memasuki Dewan Pemilihan Pemuda dan Wanita pada 12 Oktober, saya mencadangkan agar Timbalan Ketua Bahagian Kinabatangan itu dikenakan tindakan tegas oleh parti,” kata Mohd Laja.
Seorang Ahli Jawatan Kuasa Pemuda Bahagian Kinabatangan yang juga bekas perwakilan pemuda Umno Cawangan Batu 4 Bukit Garam, Mohd Asri turut mendesak agar usul menukar Urusetia Pemilihan yang ada untuk diambilalih oleh Badan Perhubungan Umno Sabah, diikuti tindakan dikenakan ke atas Timbalan Ketua Umno Bahagian itu yang disyaki menyalahi peraturan parti.
“ Sebagai bekas perwakilan pemuda saya menyokong usul menukar Urusetia Pemilihan ini dan rakan-rakan telah melihat Timbalan Ketua Umno Bahagian itu memasuki dewan pengiraan undi yang jelas menunjukkannya sedang mencampuri urusan itu yang dikendalikan oleh Urusetia Pemilihan Umno yang dibenarkan,” katanya.
Katanya, semua perwakilan pemuda pada persidangan lepas sudah meragui jumlah undi lebih apabila keputusan pemilihan pergerakan itu diumumkan, diikuti keputusan pemilihan itu berpihak ramai kepada pihak tertentu yang jelas menghairankan.
“ Walaupun sudah menang, saya minta supaya siasatan dibuat yang jika terbukti tindakan menggantung kedudukan pergerakan itu dikenakan,” katanya.
Ahli JawatanKuasa Bahagian yang juga Ketua Cawangan Paduan Bukit Garam, Amirudin Mohd Damit menyokong penuh usul menukar Urusetia Pemilihan Umno Bahagian Kinabatangan serta tindakan ke atas Timbalan Ketua Bahagian itu, ekoran beberapa insiden yang berlaku dalam pemilihan tiga sayap parti berkenaan.
Ketua Cawangan Pemuda Banungun Kecil, Mohd Rapie Selatan berkata, suasana pemilihan itu yang begitu longgar termasuk tidak menyediakan kemudahan tempat mengundi khas sebagaimana waktu pilihanraya begitu meragukan, memudahkan pihak bahagian mencampuri urusan berkenaan.
Ketua Cawangan Sepinong Laut, Osman Sulaiman turut bersetuju dengan cadangan menukarkan Urusetia pemilihan bahagian itu untuk diambilalih Urusetia Pemilihan Badan Perhubungan Umno Sabah.
Seorang lagi pemimpin Cawangan Umno Pulau Baih di sini, Sazuan Nasrah menyokong cadangan menukarkan Ursetia Pemilihan berkenaan untuk kebaikan pemilihan dalam Umno Bahagian 19 Oktober ini.
Seorang lagi Ahli Umno Cawangan, Mainor James menyokong kedua-dua cawangan iaitu menukar Urusetia Pemilihan oleh Bahagian Kinabatangan termasuk tindakan tegas terhadap Penjawat Jawatan Timbalan Ketua Bahagian itu dan beberapa orang lagi rakannya dalam bahagian tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan