Jumaat, 11 Oktober 2013

Pembayar Cukai & Rakyat Berhak Berasa Marah




SEORANG rakan penulis telah menyatakan rasa marahnya yang teramat sangat ke atas pelbagai bentuk pembaziran dan perbelanjaan yang disalahgunakan, disalah pakai, dibazirkan dan dibelanjakan tanpa pengawasan sepertimana yang terkandung di dalam Laporan Ketua Audit Negara.

Manakan tidak, ketika dia menerima bonus daripada majikannya, wang yang dipotong untuk cukai peribadinya mencecah sehingga RM4,500.

Wang itu adalah hasil titik lelahnya tetapi dia adalah seorang pembayar cukai yang baik.

Hasil daripada wang yang dikutip daripada cukainya itu digunakan oleh kerajaan untuk menguruskan negara.

Jadi siapa yang tidak marah jika wang pembayar cukai sepertinya itu digunakan secara tidak cekap sehingga membawa kepada pembaziran dan kerugian yang mencecah berbilion ringgit.

Maka itu dia berhak berasa marah dengan apa yang didedahkan di dalam Laporan Ketua Audit Negara.

Malangnya, amalan pembaziran dan ketirisan atau kelonggaran ke atas pengawasan pelaksanaan projek atau dasar sepertimana yang didedahkan oleh Jabatan Audit Negara ini tetap juga berlaku setiap tahun.

Rakyat dan pembayar cukai menjadi semakin jelak dan mengharapkan penambahbaikan atau pengawasan yang lebih ketat dan teliti.

Malangnya ini semua tidak berlaku. Sebaliknya kecuaian dan pembaziran ini semakin bertambah sehingga ke tahap yang luar biasa dan sukar dipercayai.

Contoh yang paling menakjubkan ialah tuntutan palsu uniform atau pakaian untuk kakitangan beruniform, projek berjuta ringgit yang diserahkan kepada syarikat kontraktor yang tidak memiliki rekod perkhidmatan sehingga terbengkalai, projek kawalan keselamatan di sekolah-sekolah satu Malaysia sehingga mencecah RM2 bilion, pembayaran untuk kerja yang tidak siap atau tidak wujud dan banyak lagi.

Peranan dan fungsi audit ialah untuk memastikan segala peruntukkan dan pelaksanaan projek serta dasar dilaksanakan mengikut prosedur. Kedua ia adalah bertujuan untuk mengenalpasti di mana berlakunya ketirisan dengan harapan kecuaian yang sama tidak berulang.

Ketiga ialah untuk ketua jabatan mengambil tindakan ke atas mereka yang bertanggungjawab ke atas semua ini.

Apabila punca masalah telah dikenalpasti, maka langkah seterusnya yang dinantikan oleh pembayar cukai ialah apakah bentuk hukuman yang telah diambil ke atas sang pelakunya.

Malangnya ini tidak akan kita ketahui kerana bukanlah menjadi tanggungjawab Ketua Audit Negara untuk melaporkan bentuk tindakan yang telah diambil ke atas sipelaku atau mereka yang bertanggungjawab mengawalselia pelaksanaan projek.

Jabatan Audit Negara hanya mengaudit kementerian, jabatan, lembaga dan syarikat berkaitan kerajaan. Lain daripada itu bukan di bawah tanggungjawabnya.

Maka pada akhirnya adalah menjadi tanggungjawab setiap kementerian, jabatan, agensi, lembaga dan syarikat berkaitan kerajaan yang nama mereka dikaitkan dengan sebarang ketidakcekapan dan ketirisan menjawab dan menjelaskan kepada rakyat mengapa ini semua boleh berlaku dan apakah bentuk tindakan yang telah mereka ambil ke atas kakitangan atau pegawai yang terlibat.

Tiada ulasan: