SHAH ALAM - Pas Selangor berkeyakinan tinggi untuk mengempur Dun Sungai Limau menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 4 November ini.
Setiausahanya, Mohd Khairuddin Othman berkata, ini dapat dibuktikan apabila jentera Selangor sudah di tempatkan di Dun Sungai Limau dan hanya menunggu tarikh penamaan calon untuk memulakan kempen.
"Kami yakin dengan pengalaman yang ada dalam Pas Selangor, insya-ALLAH kita akan dapat membantu Pas untuk mengekalkan kemenangan di Dun Sungai Limau.
"Kami telah membuat jadual untuk jentera sepanjang tempoh untuk membantu jentera Pas Kedah,” katanya ketika dihubungi oleh Sinar Harian Online, hari ini.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai cara kempen terbaik yang Pas akan lakukan pada PRK kali ini, beliau berkata, Pas akan mengadakan kempen rumah ke rumah.
“Kita akan jalankan kempen dari rumah ke rumah kerana dengan cara itu kita akan dapat mengetahui luahan mereka (rakyat) di Dun Sungai Limau.
“Risalah mengenai calon, serta alat kempen juga akan diberi kepada rakyat melalui kempen tersebut,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan PRK Dun Sungai Limau di adakan pada 4 November manakala hari penamaan calon ditetapkan 23 Oktober.
PRK Sungai Limau diadakan berikutan kematian penyandangnya yang juga bekas Menteri Besar Kedah Allahyarham Tan Sri Azizan Abu Bakar pada 26 September lalu.
Pada PRU13, Azizan mengekalkan kerusi itu dengan majoriti 2,774 undi dalam saingan empat penjuru yang turut membabitkan sepupunya, Mohd Fazillah Mohd Ali dari BN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan