Rabu, 16 Oktober 2013

PAS P Pinang gerak jentera pertahan Sungai Limau

Mohd Sabri Said,


BUKIT MERTAJAM: PAS Pulau Pinang mengarahkan semua jentera pilihan raya turun membantu jentera Pilihan raya Kecil (PRK) Dun Sungai Limau yang bermula dari hari penamaan calon 23 Oktober ini.

Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Saleh Man ketika ditemui di majlis penyembelihan korban Aidil Adha di Kampung Tanah Liat, di sini pagi tadi menegaskan, tidak kira jentera Pemuda ataupun Muslimat perlu digerakkan membantu untuk memastikan kemenangan calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat.

"Untuk mencapai kemenangan bukan kerja mudah di PRK Sungai Limau nanti kerana Umno dan Barisan Nasional (BN) akan berusaha untuk meroboh kubu PAS. Memandangkan ia begitu sengit, semua jentera PAS Pulau Pinang amat diperlukan, tambahan lagi kita berjiran," jelasnya yang juga Adun Permatang Pasir.

Bagi menzahirkan hasrat tersebut sambung beliau, PAS negeri akan bermesyuarat dengan jentera pilihan raya PAS negeri terlebih dahulu supaya pembahagian tugasan berjalan dengan lancar.

Jentera PAS Pulau Pinang  ujarnya, bersedia diletakkan di mana sahaja Unit Peti Undi (UPU) yang akan ditentukan kelak.

Jelasnya, kalangan petugas yang bakal dihantar nanti merupakan mereka yang berpengalaman terutamanya dalam beberapa siri PRK yang diadakan di Kedah.

Tiada ulasan: