Khamis, 3 Oktober 2013

PAS mampu pertahan kerusi DUN Sungai Limau


anwar white


KUALA LUMPUR :  PAS memiliki peluang cerah untuk mempertahankan kerusi DUN Sungai Limau, Kedah semasa pilihan raya kecil (PRK) di kawasan itu pada 4 November nanti, kata Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Ketua Pembangkang berkata, Pakatan Rakyat (PR) akan memastikan seluruh jenteranya membantu calon PAS untuk memenangi pilihan raya itu.

“Insya Allah kita yakin (menang) ekoran pelbagai isu timbul sekarang antaranya kenaikan harga barang, petrol dan sebagainya,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof mengumumkan bahawa pilihan raya kecil bagi DUN Sungai Limau, Kedah akan diadakan pada 4 November.

Hari penamaan calon pula ditetapkan pada 23 Oktober – yang memberi peluang kepada calon untuk berkempen selama 12 hari termasuk pada hari penamaan.

Penyandang kerusi tersebut, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak meninggal dunia pada 26 September lalu akibat masalah kesihatan.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) Mei lepas, Azizan yang juga mantan menteri besar Kedah memperoleh 13,294 undi menewaskan Mohd Fazillah Mohd Ali daripada BN dengan majoriti 2,774 undi.

Tiada ulasan: