Khamis, 10 Oktober 2013

'Over load' punca dinding pasar raya runtuh

MOHAMAD FAKHRI MOHD ALI
 
'Over load' punca dinding pasar raya runtuh 
 Badrul Hisham (kanan) melawat lokasi kejadian.

JITRA -  Runtuhan dinding dan bumbung pasar borong C-Mart di kawasan industri Bandar Darul Aman, di sini pagi semalam dipercayai berpunca daripada pengubahsuaian bangunan yang tidak betul.

Exco Kerajaan Tempatan, Bekalan Air dan Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan, Badrul Hisham Hashim berkata, runtuhan itu mungkin disebabkan kapasiti bebanan yang terlampau berat dalam premis berkenaan.

Beliau berkata, premis itu adalah bangunan industri tetapi diubahsuai menjadi sebuah pasar raya menyebabkan kapasiti bebanan terlampau berat.

"Saya lihat banyak kesilapan yang berlaku pada pengubahsuaian dan ini memberi pengajaran kepada kita supaya ambil serius mengenainya.

"Bangunan ini belum mendapat sijil layak menduduki (CF) sejak beroperasi Julai lalu," katanya selepas melawat tempat kejadian, hari ini.

Sehubungan itu, semua pemaju diingatkan agar mengikut peraturan yang ditetapkan termasuk tidak membenarkan bangunan atau kawasan diubahsuai tanpa kebenaran.

Menurutnya, bangunan itu diarah tutup serta merta bagi memudahkan jawatankuasa khas menyiasat kejadian itu, yang pertama kali berlaku di Kedah.

Beliau turut mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) agar memandang serius kejadian itu dan memastikannya tidak berulang di kawasan lain.

Semalam, Sinar Harian melaporkan, runtuhan itu melibatkan dinding dan bumbung tepi bangunan yang menempatkan barangan jualan seperti pakaian dan kasut pelbagai jenama.

Ketika kejadian, dua petugas bahagian penyelenggaraan mahu melakukan pemeriksaan di bahagian belakang premis itu, sempat melarikan diri selepas terdengar bunyi runtuhan pada dinding

Tiada ulasan: