Ahad, 13 Oktober 2013

“Outsyed The Box” marah Najib kerana salah urus tadbir negara

OLEH AMIN ISKANDAR, PENGARANG BERITA

Kerajaan sekarang seperti tidak mempunyai hala tuju, kata Syed Akhbar Ali. Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 13 Oktober, 2013. Kerajaan sekarang seperti tidak mempunyai hala tuju, kata Syed Akhbar Ali. Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli,























Penulis blog pro-Umno Syed Akhbar Ali yang mengendalikan blog “Outsyed The Box” lantang mengkritik pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana mendakwa berlaku salah urus dalam pentadbiran kerajaan.

Syed Akhbar baru-baru ini mengejutkan dunia penulisan blog dengan kritikan lantangnya terhadap kerajaan dan menjadi penulis blog Umno pertama yang menggelar Najib “sewel” secara terbuka melalui penulisannya.

“Saya hanya marah sebab berlaku salah urus dan kekeliruan kerajaan hari ini. Mereka tidak mempunyai hala tuju dan kita tidak dapat melihat pertumbuhan ekonomi sejak sekian lama,” kata penulis blog berusia 53 tahun itu dalam satu wawancara bersama The Malaysian Insider baru-baru ini.

 Syed Akhbar dilantik oleh Najib untuk menganggotai Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) bagi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama 10 yang lain.

PPPR yang dipengerusikan oleh Datuk Johan Jaaffar bertujuan membantu SPRM dalam mencapai matlamat mewujudkan masyarakat benci rasuah di pelbagai sektor.

Walaupun kelihatan seperti seorang berwatak garang jika pertama kali bertemunya, Syed Akhbar sebenarnya seorang yang mudah senyum dan cepat mesra jika berpeluang berbual dengannya.

Digelar sebagai “Dr M’s chief spin doctor” oleh penulis blog dan aktivis Haris Ibrahim, Syed Akhbar mengakui beliau tidak pernah menghadiri mana-mana mesyuarat Umno sejak Tun Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih jawatan presiden daripada Tun Dr Mahathir Mohamad.

Jika membaca blog Outsyed The Box, pembaca akan dapat merasai kemarahannya dengan Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (Pemandu) yang ditubuhkan oleh Najib pada 16 September, 2009 untuk menyelia pelaksanaan, menilai kemajuan, memudahcara serta menyokong penyampaian dan memacu kemajuan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan secara keseluruhannya menyelia Indeks Prestasi Utama (KPI) semua Menteri.

“Ini kerana falsafah di sebalik penubuhan unit tersebut memperlihatkan kerajaan sudah berputus asa dengan diri mereka sendiri; sikap yang menyerah kalah,” katanya menerangkan mengapa beliau sering mengkritik Pemandu di blognya.

Syed Akhbar berkata, semasa zaman pemerintahan Dr Mahathir, penjawat awam di Malaysia berada dalam keadaan terbaik walaupun tidak mempunyai Ketua Setiausaha Negara seperti Tan Sri Dr Ali Hamsa yang mempunyai Ijazah Kedoktoran (PHD).

“Unit Perancangan Ekonomi (EPU) digunakan sepenuhnya dan semuanya dilakukan oleh penjawat awam.

“Tetapi sekarang, semua diserahkan kepada Pemandu yang menyerahkan pula kepada perunding yang menyebabkan kerajaan perlu membayar berjuta ringgit setiap tahun. Penjawat awam kini dipinggirkan,” katanya.

Rakan baik kepada Datuk Ahirudin Attan yang menggendalikan blog Rocky Bru, Syed Akhbar merupakan penyokong kuat kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir bagi perebutan jawatan naib presiden Umno.

“Saya rasa Mukhriz akan menang, Zahid dan Hishammuddin,” katanya merujuk kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein ketika mengulas mengenai pemilihan Umno.

Bercakap mengenai parti pembangkang di Malaysia, agak mengejutkan apabila Syed Akhbar  berkata, jika perlu memilih, beliau akan memilih DAP.

“Ini kerana penubuhan DAP berasaskan kepada fahaman sosialisme. Sosialisme merupakan satu falsafah yang baik dan berjaya di banyak negara.

“Tetapi DAP tidak mempunyai orang yang terbaik buat masa kini dan terlalu berteraskan Cina,” katanya.

Syed Akhbar adalah anak kepada penjawat awam yang menjadi tenaga pengajar di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) pada 1970. Keluarganya berpindah dari Ipoh ke Melaka di mana beliau menyambung pendidikan sekolah menengahnya.

“Saya masuk Sekolah Tinggi Melaka untuk tingkatan empat dan lima. Pada tahun pertama, saya duduk di sebelah Lim Guan Eng,” katanya sambil tersenyum.

Tiada ulasan: