SHAH ALAM - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pulau Pinang membuat pembayaran Bantuan Am kepada 155 penerima yang telah meninggal dunia, demikian menurut Laporan Ketua Audit Negara 2012.

Bantuan yang disalurkan itu bermula sejak tahun 2006 sehingga Jun 2012, dedah laporan audit.

“Berdasarkan senarai keseluruhan penerima bantuan bagi dua daerah (Seberang Perai Utama dan Timur Laut) yang dipilih daripada Laporan Pembayaran, pengesahan melalui nama dan nombor kad pengenalan telah dibuat dengan Jabatan Pendaftaran Negara Negeri Pulau Pinang (JPNPP).

“Mengikut maklum balas JPNPP, didapati seramai 155 orang penerima telah meninggal dunia dari tahun 2006 hingga bulan Jun 2012.

“Bagaimanapun, nama mereka masih lagi tersenarai dalam senarai Laporan Pembayaran Bantuan Bulanan,” kata laporan itu.

Katanya lagi, semakan dengan Bank Simpanan Nasional (BSN) juga mendapati 155 akaun penerima yang telah meninggal dunia mendapati sejumlah RM13,070 telah dikeluarkan.

“Semakan terhadap Laporan Bulanan Larian Auto-Debit BSN bagi 155 akaun penerima yang telah meninggal dunia mendapati sejumlah RM13,070 wang bantuan daripada 77 kes penerima yang meninggal dunia telah dikeluarkan melalui akaun penerima tersebut.

“Manakala baki sebanyak 78 kes wang bantuan yang tidak dikeluarkan telah dikembalikan kepada JKM melalui pengesahan di Laporan Ringkasan Pemulangan Bantuan,” katanya.

Mulai Januari 2010, kadar baru Bantuan Am oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang adalah antara RM100 hingga RM350 sebulan bagi setiap penerima yang layak.

Selain itu, Kerajaan Persekutuan juga memperuntukkan sebanyak 33.3 peratus (%) atas kadar semasa
sebagai tambahan kepada bantuan sedia ada.

Bagi tempoh 2010 sehingga Julai 2012, jumlah penerima bantuan yang aktif di Pulau Pinang adalah seramai 2,866 orang.

Bagi tempoh tersebut, JKM Pulau Pinang telah menerima sejumlah RM12.23 juta peruntukan dan
sehingga Julai 2012 sejumlah RM10.55 juta (86.2%) telah dibelanjakan.

Ketua Audit Negara berkata, JKM Pulau Pinang disarankan agar mendapatkan kerjasama daripada PDRM berhubung maklumat penerima yang telah meninggal dunia.

“... mewujudkan mesyuarat berkala antara JKM Pulau Pinang, Jabatan Pendaftaran Negara Pulau Pinang dan Bank Simpanan Nasional bagi menyelaraskan maklumat terkini penerima bantuan.

“Dan mendapatkan kerjasama daripada Polis Diraja Malaysia berhubung dengan maklumat penerima yang meninggal dunia,” menurut laporan itu.