Muhammad Faeez Azahar, |
KUALA LUMPUR: PAS Perak akan menganjurkan satu program ceramah bagi menyatakan solidariti terhadap 13 peserta demontrasi Ops Bubar dihadapan Masjid Ubudiah, Bukit Chandan ketika krisis politik perak 2009 lalu.
Kesemua Orang Kena Zalim (OKZ) itu telah dijatuhkan hukuman penjara dua tahun serta denda RM5,000 oleh Mahkamah Seksyen Kuala Kangsar.
Namun kesemua 13 mereka telah dilepaskan setelah hampir seminggu meringkuk dalam Penjara Tapah apabila Mahkamah Tinggi Taiping menerima permohonan peguambela untuk ditangguhkan hukuman sementara proses rayuan dijalankan.
Ketua Penerangan PAS Perak, Dr Ahmad Nuri Al-Amin berkata, ceramah tersebut dijadualkan akan berlangsung di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (Kuizm), Taman Melewar, Kuala Lumpur jam 9.00 malam pada hari Jumaat ini (esok).
Katanya, ceramah tersebut adalah kemuncak program setelah menjelajah ke seluruh negeri Perak dalam masa dua minggu lalu.
Ceramah tersebut katanya bertujuan untuk mengumpul dana bagi bersama-sama membantu mengurangkan beban terhadap mereka.
"Kesemua 13 OKZ terpaksa menanggung sebilangan kos yang agak tinggi termasuklah denda RM5 ribu yang dijatuhkan, jaminan pelepasan dan kos perbicaraan.
"Malah ada dari kalangan 13 tahan itu kehilangan pekerjaan disebabkan hukuman yang telah disabitkan ke atas mereka," katanya kepada Harakahdaily hari ini.
Ceramah tersebut akan dihadiri oleh Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Mantan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin, peguam, Hanipa Maidin, Naib Presiden PKR, Tian Chua, Mantan Speaker Dun Perak, V Sivakumar, dan Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussien.
Beberapa OKZ juga katanya akan turut hadir ke majlis itu disamping sokongan daripada beberapa NGO termasuklah Seniman Paksi Rakyat (PAKSI).
"Saya mengajak seluruh rakyat khususnya anak Perak disekitar Lembah Klang untuk hadir ke program ini dan dalam masa yang sama dapat membantu kami mengumpul dana bagi membela nasib 13 pejuang ini," jelasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan