Selasa, 8 Oktober 2013

Negeri Kristian? DAP kata “No way!”

cabai-burungA1


BELUM pun habis penat menguruskan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC), DAP terpaksa pula berhadapan dengan satu lagi tohmah fitnah terbesar pra Pemilihan Agung UMNO, kononnya DAP mahu tubuh negeri Kristian di Pulau Pinang.

Cerita mahu tubuh negeri Kristian ini bukan baru sekarang didengar, sama juga dengan dongeng 13 Mei yang kononnya dimulakan DAP; itu semua terbukti bohong belaka.

Mungkin DAP ini dilihat makin kuat gagah perkasa, maka tak hairanlah kalau berbakul-bakul lagi fitnah ditembak bertalu-talu. Bak kata orang-orang tua, sudah jatuh ditimpa tangga…

Sebelum kecoh bab negeri Kristian ini, DAP dituduh ‘Cina komunis’ bila dapat perkhabaran abu mayat Chin Peng mahu dibawa pulang ke Sitiawan, Perak.

Bagi orang yang berakal sihat, waras dan cerdik. Mana mungkin ideologi komunis boleh masuk dengan agama? Kalau tidak, negara China era Mao mungkin sudah diisytihar jadi negara Buddha atau Tao.
Kedua-dua fitnah jahat ini juga bertentangan. Mana satu betul, mana satu salah?

Bagi kebanyakan orang, fitnah ini merupakan plot berterusan UMNO untuk menjahanamkan DAP, paling tidak pun mereka mungkin mampu menyekat kemasukan orang Melayu dan Islam ke dalam parti itu.

Bagi Cabai Burung pula, tohmahan jahat ini berlaku kerana tukang buat fitnah kemungkinan besar ada masalah cetek akal.

Pertama kerana DAP sudah berbuih mulut menegaskan bahawa parti itu mendukung Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf agama Islam sebagai agama persekutuan. Begitu juga halnya dengan kedudukan raja-raja Melayu, hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera.

Keduanya, DAP merupakan sebuah parti politik sekular yang berpegang pada ideologi demokrasi sosial. Dalam kata mudah, DAP ini parti tanpa agama kerana bagi DAP, urusan agama adalah hak peribadi individu. Ini sangat jelas terang lagi nyata.

Malah, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng telah menyatakan bahawa DAP sentiasa konsisten menolak sebarang penubuhan negeri berdasarkan ideologi termasuk menolak negeri berdasarkan fahaman agama Kristian.

Tindakan UMNO dan Utusan Malaysia memainkan fitnah ini hanya akan mendatangkan malu besar pada mereka. Daripada sudut teknikalnya sahaja sudah nampak cacat cela. Nampaknya Utusan Malaysia dan UMNO tidak mahu ambil pengajaran.

Kalau tindakan ini dilihat satu jenayah, mungkin sudah ramai pemimpin UMNO dan Utusan Malaysia ditembak polis. Bak kata Ahmad Zahid Hamidi, “Jangan ada lagi amaran kepada mereka, kita dapat bukti kita tembak dulu,” -Roketkini.com

Tiada ulasan: