Aslani M, |
Jabatan dan agensi kerajaan tertentu difahamkan diarah mengatur program khas menteri, timbalan menteri dan pengerusi GLC dengan cawangan-cawangan Umno di seluruh negara.
Bagaimanapun program tersebut difahamkan dibuat atas nama aktiviti menteri bersama masyarakat.
“Namun yang dijemput hadir cawangan-cawangan Umno dan bukannya orang ramai. Menteri menggunakan hubungan rapat dengan ketua-ketua bahagian bagi menghimpunkan cawangan-cawangan.
“Baru-baru ini memang menteri kerap berkunjung ke kampung-kampung, namun khalayak ditemui cawangan-cawangan Umno,” dakwa beberapa sumber di sini.
Umno sebelum ini meminda perlembagaan parti dengan memberi kuasa kepada 150,000 perwakilan memilih pemimpin bagi mengelakkan gejala politik wang.
Bagaimanapun ramai berhujah format baru pemilihan Ahli Majlis Tertinggi (MT) dianggap tidak mampu mengubah tabiat lama calon yang bertanding.
Persidangan Umno peringkat cawangan diadakan sehingga 15 September lalu, manakala mesyuarat perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno bahagian akan diadakan serentak pada 12 Oktober ini.
Pemilihan MT dan wakil bahagian ke Perhimpunan Agung Umno 2013 akan diadakan serentak pada 19 Oktober. Perhimpunan Agung Umno pula akan diadakan bermula 2 Disember 2013.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan