Ahad, 13 Oktober 2013

MCA: Mukhriz guna isu perkauman untuk menang pemilihan Umno


OLEH MD IZWAN























MCA mengecam tindakan mementingkan diri oleh Datuk Mukhriz Mahathir (gambar) yang bermain isu perkauman kerana tidak menghormati masyarakat berbilang kaum di Malaysia dan hanya akan menyekat pembangunan negara.

Timbalan Ketua Publisiti MCA, Loh Seng Kok menggesa Menteri Besar Kedah itu mengambil pendekatan yang lebih matang dan tidak memperjudikan nasib kaum lain semata-mata mahu menang dalam naib presiden Umno.

"Jika mereka mahu memenangi sokongan ahli parti, mereka patut berkempen berdasarkan pencapaian dalam parti untuk membuktikan mereka adalah calon terbaik," katanya yang juga ahli jawatankuasa pusat MCA.

Mukhriz menuduh MCA sebagai sebuah parti perkauman hanya kerana tidak bersetuju dengan kenyataan beliau mengatakan pentadbirannya hanya akan menumpukan pada sekolah kebangsaan kerana beliau tidak dapat mengabaikan golongan yang memilih Barisan Nasional (BN) di Kedah.

"Malaysia adalah sebuah negara pelbagai kaum dan MCA tidak akan membenarkan sesiapa pun membatasi garisan keharmonian kaum hanya demi kepentingan peribadi," kata Loh.

Loh berkata, Mukhriz perlu bersikap adil kerana bukan hanya orang Melayu sahaja menyumbang kepada pembangunan negara.

"Masyarakat Cina banyak menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negara, sama seperti kaum lain.

"Sangat penting keharmonian kaum dipelihara kerana ia adalah faktor penentu perkembangan negara kita," katanya.

Mukhriz sebelum ini dilaporkan Utusan Malaysia dan China Press mempertahankan pendiriannya keutamaan hanya akan diberikan kepada penyokong BN dan bukan mereka yang menyokong Pakatan Rakyat (PR) dalam pilihan raya 5 Mei lalu.

Mukhriz dilaporkan berkata, langkah tersebut adalah wajar kerana kerajaan Pulau Pinang juga mengamalkan perkara sama.

Anak bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu juga berdepan misi mustahil untuk memenangi perebutan jawatan naib presiden Umno berikutan pengaruh bapanya sudah terhakis selepas melepaskan jawatannya.

Tiada ulasan: