Khamis, 3 Oktober 2013

Masjid runtuh, mengapa di Terengganu lagi?


Oleh MAT ZAIN MAT ISA 


ADA sekurang-kurangnya dua persoalan utama yang layak dilontarkan ekoran berlakunya siri keruntuhan bangunan dan binaan awam di Terengganu sejak beberapa tahun lalu. Terbaru ialah keruntuhan sebahagian bumbung Masjid Kampung Tebauk, Kuala Terengganu pada awal pagi Ahad (29 September).

Dalam kejadian yang dikatakan berlaku seawal 4 pagi itu, kekuda besi yang menampung atap di ruang legar masjid itu runtuh menyebabkan kerangka besi yang memegang siling dan bumbung turut jatuh.

Menurut kenyataan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu, Dato' Shafii Mohamad, masjid tersebut dibina mulai Januari 2010 dan siap Oktober 2011. Kos pembinaannya RM5.6 juta (satu laporan lain menyebut RM5.8 juta). Ia mampu menampung lebih 1,000 jemaah.

Kejadian ini menjadikan sudah lebih 15 kes keruntuhan bangunan dan binaan awam di Terengganu sejak 2008. Ia juga kes ketiga melibatkan runtuhan bumbung masjid. Kejadian serupa pertama kali berlaku ke atas Masjid Kampung Batu Putih, Kerteh, Kemaman pada 3 Oktober 2009.

Kes kedua pula di Masjid Kampung Binjai Kertas, Hulu Terengganu pada 20 Mei lalu.

Soalnya, mengapa masjid pun boleh runtuh tanpa diganggu faktor alam? Sedangkan di sisi agama Islam, masjid dianggap sebagai tempat paling selamat untuk umatnya, terutama di waktu terjadi bencana alam.

Bukankah ada pesanan daripada Rasulullah s.a.w. agar kita bergegas ke masjid tatkala berlaku ribut atau angin kencang? Masjid adalah “rumah Allah.” Maka Dialah yang berhak menjaganya dengan sebaik-baik penjagaan. Hakikat yang dianggap “ajaib” ini bahkan pernah berlaku apabila masjid menjadi satusatunya bangunan terselamat dari ranapan ombak besar tsunami pada 26 Disember 2004.

Disebutkan terdapat 27 masjid di seluruh rantau terlibat, terutama di Indonesia, Sri Lanka dan India yang terselamat di sebalik kemusnahan ketara seluruh binaan sekitarnya. Juga berlaku kes masjid terselamat dalam kejadian gempa bumi di beberapa negara, sedangkan seluruh bangunan di sekitarnya runtuh dan ranap.

Ajaib bukan? Ya, kita tentu segera mengaitkannya dengan kudrat dan iradat Allah. Ia juga akan dikaitkan dengan niat ikhlas dalam pembinaan masjid-masjid terbabit. Itu termasuklah sumber kewangannya yang halal, selain bertolak daripada dasar takwa dan menegakkan agama Allah.

Maaf cakap, dasar takwa itulah yang nampaknya amat diragui dalam pembinaan sebahagian masjid di Terengganu. Bukan suatu yang rahsia betapa sifat suka “menyohor” (berbangga) dengan pembinaan masjid yang banyak menjadi kegemaran pemimpin Barisan Nasional (BN) negeri itu.

Rakyat negeri itu dan sesiapa saja yang berkunjung ke Terengganu dalam beberapa tahun pertama BN mengambil alih kerajaan daripada PAS pada 2004 lalu telah menyaksikannya.

Di sana-sini di seluruh negeri dipacakkan papan tanda gergasi memaklumkan betapa kerajaan BN negeri telah membina 32 masjid di tahun pertama pemerintahannya (2004/05) sebagai memenuhi sasaran sebuah masjid untuk setiap Dun. Ia jelas perbuatan menunjuk-nunjuk kebaikan dan atas dasar meraih mileage politik, bukan lagi sebagai memenuhi tuntutan keperluan kepada pusat ibadat.

Sehinggakan berlaku kes di mana masjid sedia ada masih baik dan boleh menampung kehadiran jemaah setempat, tetapi diluluskan juga pembinaan masjid baru.

Tiada sebab yang boleh difikirkan, melainkan kerana mahu menunjuk kononnya kerajaan BN prihatin terhadap pembangunan agama.

Kedua, kerana memelihara tembolok para kontraktor kroni yang tidak pernah “kenyang.” Projek pembinaan masjid adalah peluang mereka mengaut untung.

Ertinya pembinaan masjid bukan atas dasar takwa dan menegakkan syiar serta syariat Islam, tetapi lebih kepada kepentingan politik dan menjaga perut kroni.

Soalan kedua, mengapa hanya di Terengganu kekerapan kes runtuhan seumpama ini berlaku? Jawapannya ialah kerana hanya di Terengganu pemerintahnya yang mengaku Islam, tetapi bertindak di luar kewarasan menyondol masjid yang dibina rakyat. Kes berlaku di RTB Bujal, Kemaman pada 26 Mei 2005 akan sentiasa diingati memandangkan ia amat jelas berunsur balas dendam politik.

Andainya para pemimpin BN ada walaupun sekelumit rasa cintakan agama, sudah tentu mereka tidak akan tergamak merobohkan tempat ibadat. Ya, ia mungkin tidak menepati peraturan pembinaan PBT, tapi soal teknikal adalah sesuatu yang boleh diatasi. Kata orang, “technicalities we can overcome."

Apatah lagi segala kuasa untuk bertolak ansur terletak di tangan pemerintah. BN yang diterajui individu Muslim tidak sepatutnya hilang pertimbangan dan begitu mudah menidakkan kesucian “rumah Allah” itu.

Sedangkan jika alasan tidak mematuhi syarat pembinaan PBT, maka beratusratus kes seumpamanya boleh diselongkar di serata Terengganu, termasuk beberapa bangunan milik Umno sendiri.

Justeru, biarpun setiap kali berlaku kes runtuhan sebegini, pihak bertanggungjawab akan membentangkan kegagalan teknikal, bagi kita ia sebenarnya isyarat kemurkaan Allah SWT atas kebangangan yang pernah dibuat BN itu. Selagi mereka tidak bertaubat, mengakui dan menyesali perbuatan di RTB Bujal itu, maka selagi itulah satu demi satu kes keruntuhan akan berlaku di Terengganu!

Tiada ulasan: