Ahad, 6 Oktober 2013

Majlis Syura pastikan PAS tidak tergelincir

Saidah Hairan,



Ustaz Sallehen menyampaikan cenderahati kepada bekas Ketua Dewan Muslimat PAS Ampang, Hasnah Abd Ghani.


AMPANG: Ustaz Sallehen Mokhyi berkata, PAS sudah cukup menjadi parti yang kuat apabila ada Majlis Syura Ulamak.

Justeru kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor itu, sesiapa sahaja yang menjadi pimpinan dalam PAS akan tertakluk di bawah keputusan Majlis Syura yang melihat jalan yang betul bagi memastikan PAS tidak tergelincir daripada asas perjuangan Islam.

Katanya, jika tergelincir maka ada Majlis Syura Ulamak yang akan memperbetulkan sebab itu apabila ada suara-suara yang mengatakan PAS tergelincir sebenarnya individu atau golongan tersebut.

"Di sinilah yang kita hendak memaknakan dengan kepimpinan ulama, cukup syarat ada sokongan boleh jadi pimpinan sama ada Presiden, Timbalan Presiden. Tidak timbul soal perpecahan sama ada ulama atau profesional," katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung PAS Kawasan Ampang, pagi tadi.

Menurut beliau, semua profesional yang ada dalam PAS tidak boleh sombong dengan ilmu yang ada begitu juga ulama kerana gabungan dua golongan itu menjadi kekuatan dalam PAS.

"Biar siapa pun yang kita hendak pilih asas kita menilai terhadap kepada keperluan dan suasana semasa serta ilmu dan kefahaman asas perjuangan itu. Saya fikir tidak menjadi perkara besar soal profesional atau ulama sehingga menjadi keuntungan kepada musuh politik," tegasnya yang juga Exco Kerajaan Negeri Selangor.

Beliau berharap setiap ahli perlu kembali menghayati kekuatan PAS kerana cabaran dalam suasana semakin hampir dengan kemenangan adakalanya hilang sedikit atau melupakan asas besar yang menjadi kekuatan parti.

"Hampir dengan kemenangan kita lupa dengan usrah, tamrin, adab dan akhlak dalam jemaah. Apa yang berlaku dalam PAS sebenarnya berlaku dalam lingkungan antara sahabat dengan sahabat," tegasnya.

Menyentuh pandangan berbeza katanya, jangan sampai mengurus pandangan berbeza dengan cara yang tidak berakhlak dengan membuat kenyataan di media yang menjadi musuh parti sedangkan PAS mempunyai medan yang baik untuk membincangkan masalah tersebut.

Beliau berkata, PAS perlu menampilkan satu bentuk jemaah yang utuh yang dilihat bila bercakap soal ukuhwah memang ia benar wujud dalam PAS begitu juga dalam soal akhlak dalam jemaah.

Selain itu katanya PAS juga perlu menyahut cabaran untuk menjadikan parti sebagai parti tempat bernaung orang Melayu dan orang bukan Islam bahkan orang bukan Islam melihat PAS sebagai parti yang tempat bernaung dan mencari politik yang bersih dan selamat.

"Ini cabaran besar kepada kita, keupayaan kita dalam mengurus masalahan dalaman. Saya fikir ini keupayaan kita untuk mencari jawapan bagi menggantikan Umno BN," tegasnya.

Tiada ulasan: