Sabtu, 12 Oktober 2013

‘Macam kaduk naik junjung’, macam mana rakyat tak marah?







Oleh Aspan Alias
  


“It’s scary!” kata seorang rakan saya yang sememangnya seorang yang serius dalam hidup beliau apabila beliau bercakap mengenai keadaan negara pada hari ini. “What is frightening you bro?” tanya saya kepadanya  semasa beliau minum kopi di Bangsar Village dua hari lepas.

Katanya dia takut dengan masa depan negara yang tidak terurus dengan betul mengikut taraf sebuah negara yang mengaku akan menjadi negara maju menjelang tahun 2020. Politiknya tidak menentu, keselamatan negara tidak meyakinkan dan segala-gala urusan samada perniagaan dan lain-lain sudah tidak mempunyai budaya lagi.

Isu rasis amat menakutkan sesiapa yang faham tentang semua ‘consequence of events’ jika cara permainan politik negara sekarang ini masih tidak berubah. Perhubungan di antara kaum tidak sebaik dahulu dan semua pemimpi

politik di setiap peringkat bercakap tentang perkauman yang menebal.“The image of our political leaders is contemptible and inconceivable” katanya lagi dengan serius. “These deluded leaders have got to go if we still think that we deserve good administrators. Leaders like Zahid, Ali Rustam should be done with and everyone of their like shouldn’t be anywhere within the government.” Beliau terus merungut dengan penuh sesalan. “What we are having now is not a government,” membentak.

Orang seperti saya dan ramai yang lain di bawah ini faham maksud rakan saya tadi. Maksud beliau ialah ‘uncertainties’ yang dirasai oleh rakyat kerana mereka tidak nampak apa-apa perubahan kepada kerajaan selepas diberi sambungan mandat dalam pilihanraya lalu.

Mana kesejahteraan yang dijanjikan oleh BN sejak 30 tahun dahulu? Mana peluang untuk semua terutamanya ‘the big chunks of the unfortunate Malays’ yang dilihat oleh kaum bukan Melayu sebagai kaum yang diberikan keistimewaan itu? Kaum bukan Melayu tidak juga boleh dipersalahkan kerana pemimpin kerajaan teraju Umno tidak henti-henti bercakap memperjuangkan bangsa Melayu sejak berdekad-dekad dahulu.

Tetapi sebahagian besar Melayu tidak juga dapat menikmati apa yang dikatakan sebagai bangsa yang diberikan keutamaan dan keistimewaan itu. Memang ada Melayu atau Bumiputera yang mendapat kekayaan kerana keistimewaan yang diperuntukan oleh perlembagaan itu. Tetapi Melayu macam mana? Jawapannya semua orang tahu Melayu yang menjadi pemimpin Umno dan kroni-kroninya sahaja yang mendapatkan keistimewaan itu. Bilangannya terlalu kecil.

Ada lagi Melayu dan Bumiputera yang menggunakan peruntukan keistimewaan orang Melayu itu. Mereka dianggap sebagai ‘Super Bumi’ seperti Ananda, Arumugam, Mohzani Mahathir, Mirzan Mahathir, Syed Mokhtar, Vincent Tan dan beberapa orang yang lain. Jumlah mereka ini boleh dikira dengan jari. Lain-lainnya terdiri daripada anak-anak menteri, menantu dan adik-beradik menteri, anak-anak dan menantu MB, kaum kerabat pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Di kawasan dan daerah pula kaum keluarga wakil-wakil rakyat Parlimen dan DUN mendapat banyak peluang kerana mereka Bumiputera dan Melayu. Pegawai-pegawai kerajaan di daerah pula ramai yang mempunyai lesen kontraktor kelas F dengan menggunakan nama isteri dan keluarga masing-masing. Hampir kesemua kerja kecil-kecilan diambil oleh mereka ini.

Semua ini kalau dikaji dengan teliti adalah mereka yang rapat dengan Umno dan parti-parti pemerintah. Dengan kata lain jika ingin mendapat peluang melalui peruntukan keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera ini, mereka mestilah menjadi aktivis atau penyokong kuat Umno.

Kalau kita tegur, mereka akan melenting dan marah. Dr Mahathir semasa menjadi Perdana Menteri marah-marah apabila ditanya media tentang penglibatan anak-anaknya dalam perniagaan menggunakan pengaruh beliau. Dengan berang Dr Mahathir menjawab, “Takkan anak-anak saya nak jadi tukang kebun pula?” Semuanya ini masih tidak hilang daripada ingatan ramai orang.

Sebahagian kecil yang mendapat peluang ini akhirnya gagal kerana terlalu banyak tol dalam perniagaan kerana budaya rasuah dalam kerajaan. Ramai yang bungkus dan gulung tikar kerana tiada pembelaan.
Namun, anak Perdana Menteri apabila gagal dalam perniagaan perkapalan, boleh pula mendapatkan wang rakyat untuk membeli syarikat yang kerugian itu daripada beliau dengan jumlah hampir RM2 bilion pada tahun 1996 dahulu.

Anaknya selamat daripada kerugian dengan menggunakan wang rakyat, malahan dapat pula sedikit keuntungan hasil daripada kerugian perniagaannya itu. Pada masa yang sama membidas peniaga Melayu kerana kelemahan dalam perniagaan dan mengkritik mereka kerana terlalu bersandar kepada kerajaan.
Beliau lupa yang kerugian perniagaan anaknya itu adalah kerana kelemahan dalam perniagaan juga dan akhirnya kerajaan Umno juga yang menyelamatkan anaknya itu.

Sekarang kepimpinan yang diwarisinya kepada rakyat adalah kepimpinan yang lemah dengan di saluti oleh isu rasuah dan pelbagai isu yang menakutkan rakyat seperti yang disebut oleh rakan saya tadi. Harga barangan yang bertambah tinggi membuatkan kos kehidupan sangat tinggi. Dalam pada itu dinaikkan pula harga minyak, diesel dan gas. Alasannya kerana kerajaan mengurangkan jumlah subsidi kepada rakyat.

Kenapa dikurangkan subsidi itu sedangkan ia melibatkan puluhan juta rakyat sedangkan subsidi yang begitu tinggi diberikan kepada orang berkuasa melalui rasuah dan sebagainya. Jika benar pimpinan prihatin terhadap kesengsaraan rakyat, kenapa Perdana Menteri menggunakan hampir RM100 juta dalam tiga tahun untuk sewaan jet peribadi Perdana Menteri?

Mengapa Perdana Menteri berbelanja dengan boros? Presiden XI Jinping dari China pun terbang dengan pesawat komersil dari negara itu ke mana-mana pemimpinnya melawat. Perlu diingat China  bukan sahaja negara besar tetapi ia juga adalah ‘civilisation by itself’. Kenapa pemimpin negara sekangkang kera ini mengada-ngada sampaikan tidak boleh lagi menggunakan pesawat komersil? Kenapa bersifat si kudung dapat cincin pula sehinggakan mereka tidak layak lagi terbang menggunakan pesawat komersil kelas pertama?

Dari mana asal usul pemimpin ini sampaikan tidak lagi seronok naik pesawat komersil sekarang? Perdana Menteri lahir di Kuala Lipis pada tahun 1953 dahulu. Adakah beliau sejak kecil sememangnya sudah biasa naik jet peribadi terbang dari Kuala Lipis ke Pekan atau Kuala Lumpur?

Semuanya ini membuatkan rakyat tidak lagi berkeyakinan terhadap kepimpinan negara sekarang. Sikap ‘kaduk naik junjung’ ini membuatkan rakyat meluat kerana rakyat sedang bertarung untuk hidup dalam keadaan inflasi yang begitu tinggi.

Jika Najib meminta rakyat mengubah cara hidup, kenapa beliau dan barisan pimpinan beliau tidak berbuat perkara yag sama? Ia amat menjijikkan rakyat. Untungnya Umno hanya disebabkan satu perkara, iaitu rakyat belum nampak kejujuran pimpinan pembangkang sendiri.

Pembangkang masih terkial-kial untuk menunjukkan sikap jujur dalam usaha menjadi kerajaan alternatif. Rakyat juga nampak jika pihak pembangkang mendapat mandat baru-baru ini tidak akan banyak perubahan sikap mereka jika berada dalam kepimpinan negara.

Rakyat sangat prihatin terhadap segala-galanya sekarang. Mereka sudah terlalu lama dibuai oleh permainan politik pemimpin-pemimpin politik yang hanya menggondolkan perut mereka dan keluarga mereka sahaja. –  aspanaliasnet.blogspot.com

Tiada ulasan: