Selasa, 15 Oktober 2013
KJ tolak undi popular kerana mahu Khairul Azwan jadi naibnya? - Shahbudin Husin
Berikutan itu, Jawatankuasa Pemilihan yang dipengerusikan oleh Tajol Rosli memutuskan bahawa undi popular daripada 73 bahagian yang diperolehi oleh kedua-dua calon itu akan dikira bagi memutuskan siapa pemenang bagi jawatan kedua tertinggi dalam Pergerakan Pemuda Umno itu.
Oleh kerana ia melibatkan pengiraan jumlah undi yang banyak, maka proses penjumlahan itu hanya akan dibuat selepas Hari Raya Haji.
Namun belum pun lama pengumuman itu dibuat, Khairy Jamaluddin (KJ) yang sudah pun ditabalkan sebagai Ketua Pemuda Umno bagi penggal kedua dengan memperolehi 189 undi seakan tidak bersetuju dengan penentuan melalui undi popular itu, sebaliknya mahu penentuannya dibuat melalui undi daripada Pemuda Umno Gelang Patah yang tidak bermesyuarat pada 12 Oktober lalu berikutan wujudnya pertikaian dalaman sehingga menyebabkan ianya ditangguhkan.
Tarikh mesyuarat perwakilan Pemuda Umno Gelang Patah akan dijalankan dalam masa yang terdekat ini, tetapi belum ditentukan tarikhnya.
Kenapa KJ menolak sistem undi popular dan mahukan penentuan dibuat melalui undi Gelang Patah?
Sejak keputusan pilihan raya lalu yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) kalah undi popular kepada Pakatan Rakyat, undi popular seperti hantu yang menakutkan bagi pemimpin-pemimpin Umno. Walaupun Umno melaksanakan sistem pemilihan daripada undi akar umbi tetapi sistem undi popular tidak digunakan, sebaliknya kaedah electoral college atau 1 bahagian 1 undi yang dipilih.
Tidak disangka pula KJ yang kelihatan gagah dan berani pun rupa-rupanya fobia juga dengan sistem undi popular ini. Seharusnya apabila Jawatankuasa Pemilihan sudah memutuskan mahu menentukan pemenang antara Khairul Azwan dan Jamawi melalui kaedah undi popular, KJ tidak perlu campurtangan lagi.
Tindakan KJ yang mahukan undi daripada Pemuda Umno Bahagian Gelang Patah dipilih untuk menentukan siapa bakal naibnya dan membawa isu itu kepada Setiausaha Agung Umno, Tengku Adnan Tengku Mansor agar pandangannya itu diterima, tidak lebih menunjukkan percubaannya untuk campurtangan dalam proses pemilihan serta menunjukkan kecondongan kepada salah seorang daripada dua calon yang mendapat undi seri itu.
Jika sebelum ini hanya cakap-cakap saja yang mengatakan beliau mahukan Khairul Azwan sebagai naibnya, tetapi kini dengan tindakannya mencadangkan undi Gelang Patah dipilih sebagai penentu, maka dakwaan sebelum ini hampir menunjukkan kebenarannnya.
Kalau benar beliau bersikap berkecuali, beliau sepatutnya akur saja dengan keputusan Jawatankuasa Pemilihan itu dan menerima siapa saja naibnya yang bakal ditentukan melalui undi popular itu.
Jika undi popular kedua-dua calon itu dikira, besar kemungkinan Jamawi akan menjadi pemenangnya. Ini kerana sebagai calon dari Sabah yang mendapat banyak sokongan daripada negeri itu, kelebihan tentunya lebih memihak kepada Jamawi yang juga merupakan pegawai khas kepada Shafie Apdal berikutan Umno bahagian-bahagian di Sabah mempunyai jumlah cawangan yang lebih banyak daripada Umno di Semenanjung.
Dengan jumlah cawangan yang lebih banyak itu, bermakna undi popular untuk Jamawi juga lebih besar.
Tetapi jika kemenangan diputuskan melalui undi daripada Gelang Patah, peluang Khairul Azwan memenanginya pula lebih besar lagi. Ini kerana KJ sudah mendapat mandat yang besar sebagai Ketua Pemuda Umno dan undi daripada Pemuda Gelang Patah tentunya lebih mungkin untuk memihak kepada calon yang disenangi dan dikehendaki oleh KJ.
Sebagaimana disebut sebelum ini bahawa kaedah “electoral college” ini lebih memihak kepada calon yang ada jawatan dalam kerajaan, maka dengan kedudukan KJ sebagai Menteri Belia dan Sukan dan sudah disahkan memenangi jawatan Ketua Pemuda serta diperkatakan ramai mengenai kecondongannya terhadap Khairul Azwan, maka tidak mungkin Pemuda Gelang Patah berani bertindak melawan arus.
Sudah tersebar dakwaan dan cakap-cakap bahawa tindakan KJ mahukan undi Gelang Patah dijadikan penentuan kerana mahu menghalang kemenangan Jamawi sebagai Naib Ketua Pemuda Umno.
Seharusnya dalam soal penentuan pemenang bagi jawatan Naib Ketua Pemuda ini, KJ tidak perlu campurtangan dan menyerahkan sepenuhnya kepada Jawatankuasa Pemilihan memutuskannya. Jika kaedah undi popular yang sudah diputuskan, beliau harus menerimanya dengan selamba dan hati yang terbuka.
Apabila beliau cuba campurtangan dan mencadangkan perkara yang lain, lalu terserlahlah apa yang cuba disembunyikannya selama ini. – shahbudindotcom,
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan