Sabtu, 12 Oktober 2013

Khairy pertahan jawatan, Shahrizat dan Mas Ermieyati hampir menang

OLEH HASBULLAH AWANG CHIK, YISWAREE PALANSAMY DAN MUZLIZA MUSTAFA


















Khairy Jamaludin (gambar) dilaporkan  telah berjaya mempertahankan kerusinya sebagai Ketua Pemuda Umno untuk penggal kedua dengan Datuk Seri Shahrizat Jalil sedang mendahului untuk Ketua Wanita manakala ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin mendahului untuk Ketua Puteri.

Menteri Belia dan Sukan itu telah melepasi majoriti mudah apabila mendapat 96 undi  daripada 191 bahagian sehingga jam 8 malam, kata maklumat dalaman Umno.

Kedudukan ini disokong oleh keputusan rasmi yang kini mula dikumpulkan di Ibu Pejabat Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang menunjukkan Khairy sudah mendapat 57 undi manakala empat pencabarnya belum mendapat sebarang undi.

 Empat pencabar Khairy adalah Ketua Pemuda Cawangan Bendang Baru Akhramsyah Sanusi, Penolong Setiausaha Pemuda Pusat Bandar Taman Chempaka Syed Rosli Syed Harman Jamallulail, Bekas Ketua Pemuda Umno Merbok Abd Karim Ali dan Ketua Pemuda Umno  Bukit Setiawangsa, Irwan Ambak Khalid Izhar.

Antara bahagian yang memberikan undi kepada Khairy adalah Tambun, Jempol dan Pasir Gudang.
Akhramsyah pula berkata, walaupun Khairy mendahului, dia tidak akan menyerah kalah.

“Sebagai pejuang Melayu, saya tidak akan menyerah kalah,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Bagaimanapun, Lokman Noor Adam, yang menjadi rakan Khairy untuk kerusi Naib Ketua tidak terkejut dengan sokongan ke atas Khairy itu.

“Dia telah mendahului dalam pencalonan. Tidak ada seorang pun daripada mereka boleh kalahkan Khairy.
Saya tidak terkejut kalau kesemua mereka tidak mendapat sebarang undi dari bahagian," kata Lokman kegembiraan ketika bercakap dengan The Malaysian Insider.

Shahrizat juga sedang mendahului lawan-lawannya untuk Ketua Wanita apabila mendapat 60 undi dari 191 bahagian.

Lawannya yang terdekat, Datuk Maznah Mazlan hanya mendapat satu undi dari Bahagian Cheras.

Seorang lagi calon, Raihan Sulaiman belum mendapat sebarang undi dari mana-mana bahagian.

Untuk Puteri Umno pula, Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin bersedia untuk menjadi ketua puteri yang baru berdasarkan trend pengundian dan keputusan yang ada sekarang.

Dia menerima 80 undi mendahului lawannya, Ketua Puteri PJ Selatan Jamilah Hanim Othman yang mendapat 24 undi.

Untuk jawatan Naib Ketua Wanita Umno pula, Datuk Azizah Muhd Dun sedang mendahului lawannya apabila mendapat 38 undi berbanding Datuk Suraya Yaacob yang memperolehi 9 undi.

Bagi Naib Ketua Puteri Umno, Zahida Zarik Khan mendapat 53 undi mendahulu lawannya  Norsabrina Mohd Noor yang mendapat 29 undi manakala  Nazliah Ali yang mendapat 17 undi.

Untuk Naib Ketua Pemuda Umno pula, Khairul Azwan Harun mendahului tiga calon lain apabila mendapat 29 undi berbanding Mohamad Iruwan Zulkefli (9), Jamawi Jaafar (15) dan Lokman Noor Adam (2).

Tiada ulasan: