KL TODAY
SHAH ALAM –
Timbalan Ketua Umno Bahagian Kota Raja, Ezam Mohd Nor tidak menolak
kemungkinan ahli Umno yang terlibat dalam pergaduhan dan mencederakan
perwakilan lain boleh dipecat serta merta sebagai ahli kerana ia
menjejaskan imej parti itu.
Beliau
menegaskan, tindakan tegas akan diambil tanpa mengira status dalam
parti kerana Umno tidak boleh menerima budaya dalam perjuangan parti.
“Kita akan
ambil keputusan yang tegas dan mungkin memecat mana-mana ahli yang
terlibat dalam kes sebegini, siapa pun, kita tidak kira siapa.
“Sesiapa pun yang masuk parti dan perjuangan ini, kena letakkan nama baik perjuangan mengatasi segala-galanya.
“Kalau
kita emosi dan sanggup mencemarkan imej parti seperti ini, kita tidak
boleh kompromi,” katanya kepada Sinar Harian Online ketika ditemui di
pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, lewat malam tadi.
Beliau
berkata demikian ketika diminta mengulas lanjut insiden seorang
perwakilan Pemuda Umno Bahagian Kota Raja yang dicederakan oleh bekas
calon Ketua Pemuda Umno bahagian itu selepas tidak berpuas hati dengan
keputusan pemilihan tersebut.
Mangsa
yang juga petugas kempen calon Ketua Pemuda Umno Kota Raja yang menang
itu dipukul oleh dua abang pencabarnya setelah tidak berpuas hati
kerana kekalahannya di peringkat bahagian.
Ezam turut mendakwa, pihaknya menyerahkan kes tersebut kepada pihak polis untuk menyiasat insiden tersebut.
“Kita percaya pihak polis boleh selesaikan insiden ini,” katanya.
Ketika
ditanya keperluan memaklumkan perkara tersebut kepada pengetahuan Umno
Pusat, beliau berkata, satu laporan lengkap akan dihantar segera dalam
masa terdekat.
“Setakat
ini belum secara rasmi (dimaklumkan insiden itu), kita baru dapat tahu
malam ini, saya rasa ramai yang hadir dan akan buat laporan.
“Kita belum hantar laporan insiden ini kepada Umno Pusat, kita akan bawa ke pengetahuan pusat dengan segera,” katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan