Selasa, 15 Oktober 2013

Kembali ke tahun 1960

Subky Latif,


Selepas 53 tahun negara kembali semula ke tahun 1960. Masa itu Abu Chin Peng masih hidup. Sekarang Abu Chin Peng sudah jadi debu.

Selepas tiga tahun merdeka komunis sudah tidak lagi mengancam Tanah Melayu seperti pada zaman penjajah British. Bukan sekadar fahaman komunis lumpuh, parti komunis dalam negeri juga lumpuh.

Bagi mematikan terus komunis maka kerajaan Tunku Abdul Rahman Putra memperkenalkan ISA – akta keselamatan dalam negeri – antara peruntukan zalimnya ialah menahan sesiapa tanpa bicara dari 60 hari hingga dua tahun.

Akta itu dibuat bukan kerana komunis masih kuat dan masih mengancam, tetapi bagi memastikan Abu Chin Peng yang masih hidup tidak lagi dapat menghidupkan kembali perjuangan komunis. Sampai Abu Chin Peng mati 53 tahun kemudian bukan saja komunis mati di Malaysia, malah ia mati di sarangnya sendiri iaitu Rusia.

Matinya Abu Chin Peng dan matinya komunis tidak mematikan undang-undang zalim ISA. Dua minggu selepas Abu Chin Peng mati roh ISA dihidupkan semula dengan pakaian baru yang dinamakan DAC, Akta Pencegah Jenayah.

ISA bukanlah akta yang melumpuh dan menggagalkan komunis. Komunis sudah tinggal nyawa-nyawa ikan semasa rang ISA dibentangkan. Komunis lumpuh kerana kempen kerajaan memerangi kemiskinan mula menampakkan hasil dan kesedaran beragama khususnya dalam kalangan umat Islam mula bangkit.

Lalu ditentang oleh banyak pihak akan ISA kerana ia tidak diperlukan dan ia amat mudah disalah gunakan. Janji Tunku dan Tun Razak, ISA hanya ditujukan kepada komunis yang sudah lumpuh itu saja, tidak sekali-kali akan digunakan kepada orang politik yang lain khususnya seteru Umno.

Antara yang bimbang ia disalah gunakan ialah pegawai Orang Putih yang diupah oleh kerajaan merangka rangnya. Diingatkannya akan bahaya disalah guna itu tetapi kata Tun Razak, ‘Tidak.’ Akta itu untuk sekejap saja.

Percaya kepada janji manis itu Prof Zulkifli Mohamad, MP PAS Bachok mengundi menyokong rang itu selagi ia tidak ditujukan selain dari komunis. Tetapi sokongan PAS itu tidak dihargai. Akibatnya, ramai orang PAS termasuk Presidennya masa itu Dr Burhanuddin al-Hilmy jadi mangsa ISA.

Sebelum mati, Tunku menyesali kerana ISA juga digunakan kepada bukan komunis, sedang ia ditujukan kepada komunis saja. Jawab KPN ketika itu Tun Hanif Omar, kata Tunku itu tidak termasuk dalam akta, ia ada dalam hansat Parlimen saja.

Sekarang – tahun 2013 – ISA dihidupkan semula dengan DCA. Roh zalim ISA ada dalam DCA boleh menahan sesiapa  disyaki jenayah  tanpa bicara dari 60 hari hingga dua tahun. Semua promoter DAC memberi jaminan ia tidak disalah guna seperti ISA dulu.

PAS ada pengalaman ditipu pemimpin Umno tahun 1960 ISA tidak digunakan selain dari komunis, maka ia tidak mahu sekali lagi ditipu oleh  Umno masa ini.

DCA satu akta paling dipertikai. Ia menggugat kepercayaan rakyat. Rang tidak popular ini tidak boleh dibentang pagi dan diluluskan petang. Kata Dr Mahathir dalam Malay Dilemma, undang-undang dibentang pagi dan dilulus petang akan jadi dokuman sampah. Rang itu mesti dibahas di semua peringkat dalam dan luar Parlimen sebelum ia dilluluskan.

Bagi memerangi jenayah hapuskan rasuah dulu. Selagi menteri-menteri menikmati jenayah rasuah yang terkutuk itu, jenayah lain dikira kecil. Basmi rasuah, gas segala ketirisan dan tingkatkan kefahaman Islam termasuk hudud, maka orang takut mencuri dan membunuh.

Zaman transformasi ini bukan lagi seperti tahun 1960. Sekarang bukan zaman Tun Razak tetapi adalah zaman anak Tun Razak. Jika sama saja zaman anak dengan zaman ayah, ertinya ia bukan transformasi tetapi adalah transformati.

Tiada ulasan: