Rabu, 23 Oktober 2013

Kebijaksanaan Menteri Besar adalah tuah rakyat Selangor




Oleh Kolar Putih


Pencapaian Kerajaan Negeri Selangor pimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selaku Menteri Besar wajar diiktiraf oleh semua pihak, hatta musuh politik apatah lagi rakan politik beliau sendiri.

Apabila pengundi di Selangor sekali lagi memberi mandat kepada Pakatan Rakyat untuk terus menerajui negeri Selangor dengan kerusi yang lebih besar, pastinya majoriti rakyat dan penduduk Selangor termasuk golongan atas pagar berpuas hati dengan prestasi Kerajaan Negeri pada penggal pertama walaupun setiap malam didendangkan lagu “Sayangi Selangor Yakini BN” sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Seperti semua sedia maklum, antara manifesto Barisan Nasional (BN) Selangor ketika PRU13 adalah meneruskan pemberian air percuma 20 meter padu yang diilhamkan sendiri oleh Abdul Khalid pada tahun 2008.

Walhal rakyat semua sedia maklum, diawal dasar air percuma untuk rakyat Selangor ini dilaksanakan, BN dengan bantuan running dog (terjemahan yang tepat adalah pengikut terutamanya dalam sistem politik) ulung mereka iaitu Utusan Malaysia pelbagai dakyah songsang disajikan kepada rakyat.

Kononnya, dasar air percuma ini akan menjadikan Kerajaan Negeri Selangor muflis, akan menggalakkan rakyat membazir dan berbagai-bagai lagi kecaman lain.

Namun, seperti biasa fiksyen tidak pernah mengatasi fakta apabila bajet negeri Selangor mencatatkan bajet yang berimbang dan lebihan walhal dalam masa yang sama semua Kerajaan Negeri BN dan juga Kerajaan Persekutuan mecatatkan bajet defisit, yakni perbelanjaan melebihi pendapatan.

Abdul Khalid pastinya tersenyum lebar apabila Selangor BN secara tidak langsung mengiktiraf dasar yang diilhamkan beliau sendiri dengan menyenaraikan dasar air percuma ini dalam manifesto mereka, akhirnya.
Dasar air percuma ini sekadar salah satu contoh daripada pelbagai lagi dasar dan program bijak lagi tuntas Kerajaan Negeri Selangor di bawah gagasan Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) yang kini menjangkau 17 program untuk dinikmati oleh rakyat dan penduduk di negeri Selangor.

Walaupun Kerajaan Persekutuan sering sekali bersikap tidak gentleman dengan Kerajaan Negeri Selangor, tetapi Abdul Khalid tetap menjadi gentleman kepada BN dengan memberikan elaun sebanyak RM8620 sebulan kepada Ketua Pembangkang Dewan Negeri Selangor yang disandang oleh ADUN BN.

Perkara ini jelas menunjukkan Abdul Khalid mendaulatkan sistem demokrasi yang bertunjangkan doktrin pengasingan kuasa antara cabang Eksekutif, Legislatif dan Kehakiman.

Dengan memperuntukkan elaun dan keistimewaan kepada Ketua Pembangkang Dewan Negeri Selangor, jelas Abdul Khalid bukan sahaja memperkasa cabang Eksekutif yang dinaunginya, malah turut memperkasakan cabang Legislatif bagi memastikan proses “check-and-balance” di Selangor berjalan dengan lancar dan telus.

Selain daripada pendekatan dan dasar yang positif oleh Kerajaan Negeri Selangor, rakyat dan penduduk Selangor juga bertuah kerana mempunyai seorang Menteri Besar yang berkeperibadian yang baik. Ketika beliau dilantik sebagai Menteri Besar pada 2008, beliau sememangnya pada ketika itu sudah dikategorikan sebagai golongan berada hasil daripada penglibatan beliau dalam dunia perniagaan dan korporat, dan bukannya mengumpul harta dan menjadi kaya-raya hasil berpolitik selepas menjadi Menteri Besar.

Menambah harta dan wang ringgit tidak pernah menjadi motivasi kepada Abdul Khalid untuk terus kekal memerintah Selangor bagi penggal kedua, tetapi motivasi dan wawasan beliau adalah menambah harta, wang ringgit dan hasil negeri untuk dinikmati oleh segenap rakyat dan penduduk Selangor bertepatan dengan slogan “Hasil Negeri untuk Rakyat”.

Ramai yang mengatakan bahawa beliau tidak pandai berpolitik. Bagi penulis perkara ini harus dilihat dari perspektif yang positif yang mana rakyat sudah bosan dengan politikus-politikus picisan yang hanya tahu berpolitik, mempolitikkan setiap isu, dan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang hanya berpaksikan dan bersentimen politik.

Sikap beliau yang no-nonsense approach inilah sebenarnya menjadi kunci kejayaan Kerajaan Negeri Selangor sejak 2008 sehingga sekarang dan insyaAllah untuk masa akan datang.

Tidak dilupakan jasa setiap barisan Exco Negeri Selangor yang terdahulu dan sekarang yang telah melengkapkan pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor.

Begitu juga dengan keringat setiap penjawat awam di negeri Selangor yang berkerjak keras yang turut menyumbang kepada kejayaan Kerajaan Negeri. Pastinya bonus yang diterima oleh penjawat awam negeri Selangor (yakni lebih daripada yang diterima oleh penjawat awam Persekutuan) baru-baru ini amat berbaloi dengan segenap usaha yang telah diberikan dalam mendokong aspirasi pucuk pimpinan Kerajaan Negeri Selangor.

Tiada ulasan: