Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan kerajaan Malaysia gagal dalam
usaha membatalkan saman RM4.7 juta berhubung kontrak membina dan
membangunkan kemudahan pusat sukan bermotor di kawasan Kompleks Sukan
Negara di Bukit Jalil di sini.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Hue Siew Kheng hari ini menolak permohonan difailkan KBS dan kerajaan itu pada 29 Ogos lepas.
KBS dan kerajaan juga gagal dalam permohonan mereka untuk menangguhkan
pelaksanaan keputusan itu sementara menunggu rayuan terhadap perintah
pada 29 Ogos itu, selepas Hakim Hue menolak permohonan mereka.
Pada 13 Disember tahun lepas, syarikat pengendali dan pembangun sukan
permotoran, Motorsports Knights (M) Sdn Bhd memfailkan saman lebih RM4.7
juta terhadap Perbadanan Stadium Merdeka, KBS dan kerajaan atas dakwaan
melanggar kontrak berhubung pembinaan pusat bermotor itu yang dikenali
sebagai Integrated Motor Sports Centre (IMSC).
Peguam Mohd Firdaus Mohamood yang mewakili syarikat itu memberitahu
pemberita bahawa Hakim Hue menolak permohonan kedua-dua defendan
berkenaan untuk menangguhkan pelaksanaan perintah itu selepas mendengar
hujahan kedua-dua pihak.
Beliau berkata Hakim Hue yang membuat keputusan itu dalam kamarnya
menetapkan 15 dan 19 November ini untuk perbicaraan kes tersebut.
Dalam pernyataan tuntutan, syarikat itu mendakwa defendan pertama,
Perbadanan Stadium Merdeka telah menganugerahkan kontrak pembinaan IMSC
itu kepadanya di Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil.
Syarikat itu kemudiannya telah memasuki kontrak yang dikenali sebagai
'Sport Management Agreement' (SMA) bertarikh 18 Julai 2006 bagi
pembinaan IMSC, dan syarikat itu mula menjalankan kerja pembinaan dan
penyediaan dokumen.
Ia mendakwa perintah pembangunan IMSC juga telah diluluskan Dewan
Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bertarikh 21 November 2007. Berikutan itu,
ia juga telah memohon beberapa pembiayaan daripada institusi kewangan
dengan menggunakan SMA sebagai dokumen sokongan bagi pembinaan IMSC.
Bagaimanapun, tempoh SMA itu tidak menepati syarat kelayakan bagi
membolehkan pembiayaan diberikan dan susulan itu, plaintif telah membuat
permohonan kepada defendan untuk mengubah tempoh perjanjian dalam SMA
berkenaan.
Pada 8 Jun 2009 defendan pertama telah menamatkan SMA berkenaan dan
sehingga ke tarikh itu, plaintif telah membelanjakan lebih RM2 juta
untuk kos penyediaan dokumentasi dan kerja-kerja awalan pembinaan.
Syarikat itu mendakwa walaupun SMA telah ditamatkan tetapi melalui
perbincangannya dengan defendan pertama, plaintif masih boleh meneruskan
kerja pembinaan di tapak itu sementara menunggu perjanjian baharu
dengan memasukkan terma-terma baharu ditandatangani plaintif dan
defendan pertama.
Bagaimanapun, pada 31 Julai tahun lepas, defendan pertama melalui
peguamnya telah menghantar surat supaya syarikat itu mengosongkan
kawasan terlibat. Sehubungan itu, plaintif memohon deklarasi bahawa
wujud kontrak antara plaintif dan defendan pertama berdasarkan janji
defendan pertama kepada plaintif selepas SMA ditamatkan.
Ia juga memohon ganti rugi berjumlah lebih RM4.7 juta untuk wang yang
dibelanjakan bagi membuat persediaan dan kerja pembinaan yang telah
dijalankan di atas tanah itu.
Defendan kedua dan ketiga iaitu KBS dan kerajaan, dalam kenyataan
pembelaan mereka menyatakan mereka bukan privi atau pihak dalam kontrak
itu.
Defendan pertama dalam kenyataan pembelaannya, menyatakan plaintif
tidak melakukan sebarang kerja pembinaan di tapak itu. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan