ULASAN Tarikh 14 Oktober 2013 akan diingati oleh semua pihak kerana ia jatuh pada 9 Zulhijjah ketika para jemah haji berwukuf dan mereka yang di luar Arafah bersiap untuk menyambut Aidiladha.

Pada hari yang sama Mahkamah Rayuan menetapkan penghakiman rayuan dari pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) bahawa majalah Kristian The Herald tidak boleh menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya.

hari raya haji, slaughtering of cows, korbanPenghakiman ini mendapat perhatian antarabangsa kerana Malaysia menjadi negara unik yang mengharamkan perkataan ini digunakan oleh penganut Kristian.

Saya dihujani soalan daripada pemberita tempatan dan luar negara meminta respons keputusan mahkamah Malaysia.

Hari wukuf itu saya sibuk melayan soalan dan telah kemaskini status perkembangan terkini isu kalimah Allah dalam media sosial saya.

Saya juga dimaklumkan respons awal kelompok ekstrim kanan mahu melebarkan keputusan ini ke Sabah dan Sarawak kerana penganut Kristian sana menggunakan Bible yang tertera di dalamnya kalimah Allah sebagai terjemahan dari perkataan "Elohim".

Di sebalik kegembiraan golongan ekstrim kanan dan sebahagian orang Melayu, masyarakat Kristian Katolik pula bersedih dan marah bahawa hak mereka dikecewakan oleh keputusan panel tiga hakim.
Suasana raya untuk saya pada hari itu dipenuhi dengan pelbagai soalan.

NONEKe manakah dasar kebebasan agama hendak dibawa? Adakah negara kita kini dikuasai kelompok ekstrim kanan? Apakah masa depan hubungan antara agama akan dipengaruhi unsur rasis daripada kesucian agama itu sendiri?

Adakah ekstrimism agama akan subur?

Saya cuba bersikap jujur untuk menjawab persoalan di kepala saya. Kejujuran hanya boleh dipandu dengan prinsip dan prinsip terpandu dengan keilmuan, manakala keilmuan pula asasnya ialah objektiviti dan bukan sentimen.

Saya melihat sejak awal isu kalimah Allah ditunggangi prinsip yang salah maka kewajaran ilmu yang sepatutnya memandu prinsip dikuasai oleh sentimen lalu objektiviti tajuk menjadi tersasar dari perbincangan yang ilmiah dan mendasar.

Prinsip rahmat seluruh alam


Prinsip Islam dalam hubungan dengan bukan Islam terbina atas asas rahmatan lil ‘alamin (rahmat kepada seluruh alam).

Kesejahteraan yang Islam angkat dan usung mencakupi perlindungan kepada kebebasan beragama dan hak untuk agama lain melaksanakan keperluan agamanya.

islam religion muslim mosque 3

Prinsip Islam juga mempertahankan hak agama lain dari dicerobohi kerana atas nama kemanusiaan tiada siapa yang berhak menodai atau memaksa umat lain menerima agamanya.

Dalil kepada prinsip di atas dipraktikkan sepanjang penguasaan tamadun Islam yang merentasi Timur dan Barat dunia.

Kewujudan agama lain di bawah pemerintahan Islam tidak pernah dinafikan, khusus dengan pengikut Kristian dan Yahudi, Islam senantiasa menganggap mereka sebagai saudara Ahlul Kitab.

Walaupun kebanyakan mereka menggunakan kalimah Allah dalam kitab Injil mereka dengan bahasa Arab, namun ia tidak pernah menjadi isu, bahkan tidak pernah umat Islam takut jika digunakan kalimah itu atas alasan akan berlaku kemurtadan.

NONEIa tidak menjadi isu kerana prinsip rahmatan (sejahtera) membenarkan, maka siapalah kita hendak menodai prinsip ini. Keagungan prinsip ini dalam konteks hak agama lain ditafsirkan oleh asas yang cukup suci dalam Islam iaitu "tiada paksaan dalam beragama".

Ia bukan sahaja bermakna kita tidak boleh memaksa orang lain ke dalam agama Islam tapi juga bermakna kita tidak boleh mencampuri urusan agama lain dalam kegiatan seharian mereka.

Siapalah kita hendak memaksa kalimah yang sama yang mereka guna seperti Allah mesti difahami menurut kehendak agama kita?

Antara tanda kebesaran Allah ialah menjadikan kewujudan agama berbeza-beza sebagai sesuatu yang berkekalan sifatnya.

Wala yazaluna mukhtalifeen apabila ada perbezaan agama maka perbezaan teologi pasti akan berlaku.

Mampukah kita mengubah panduan Ilahi dengan melarang agama lain menggunakan perkataan yang kita pakai dengan pentafsiran yang berbeza-beza?

Sebab itu prinsip ini senantiasa dipelihara oleh ulama dan umarak silam bagi memartabatkan rahmatan Islam kepada manusia yang berbilang agama.

Keilmuan memimpin 'benar-sesat'

Kebenaran yang kita junjung tidak bererti kita harus mewajarkan ‘kesesatan' orang lain dengan mencerobohi hak mereka.

Jika perasaan itu tidak terkawal maka akan huru-hara perhubungan antara agama lantas keilmuan Islam memimpin hubungan ‘benar dan sesat' ini melalui nilai peradaban yang tinggi iaitu dialog dan perdebatan yang sihat.

azlanMaka Islam menggariskan pendekatan bil hikmah wal mauizatul hasanah (hikmah dan kata nasihat) dan jidal billati hia ahsan (berdebat secara sihat).

Inilah keilmuan yang memandu sentimen dan emosi demi memelihara tujuan Islam dibangkitkan oleh Allah iaitu kedamaian dan rahmatan kepada semua.

Sebab itu semua buku dalam daerah keilmuan yang mendebatkan sama ada kalimah Allah boleh dipakai oleh bukan Islam atau tidak adalah dalam aspek perdebatan intelektual dan bukan undang-undang yang menghalang maksud kebebasan agama yang dijunjung oleh Islam.

Memelihara kemurnian prinsip ini lebih utama dari melayani perasaan puak sempit agama dan rasis yang tidak bertanggungjawab.

Adakah para hakim kita melayan prinsip Islam atau melayan kerenah sebahagian manusia bigot yang jahil?

Sempit agama
Mereka yang membaca Islam atas sentimen kebencian pada agama lain harus memahami bahawa di sana Islam telah meletak disiplin dan kerangka yang jelas hubungan antara agama.

Pernyataan keras Islam terhadap ‘kesesatan' adalah berpandukan kepada premis haq dan batil, tauhid dan kesyirikan. Begitu juga dalam membentangkan premis permusuhan yang berpotensi menggugat keberadaan Islam.

NONETanpa suasana yang disebutkan maka Islam meletakkan kembali asas kesuciannya memelihara hak kebebasan, hak beribadat agama lain dan hak keperluan mereka. Itu adalah asal dan asasnya.

Permusuhan Islam kepada orang lain adalah atas sikap permusuhan orang kepadanya kerana Islam juga perlukan kekuatan. Selain daripada alasan ini maka asasnya ialah kedamaian dan kesejahteraan.

Apakah kalimah Allah digunakan oleh penganut Katolik diwarnai konteks permusuhan?
Ataukah ia konteks menyatakan haknya?

Golongan sempit agama terpaksa lebih teliti dalam melanggani isu ini.

christians praying church attacksTeori memurtadkan orang Islam jika benar ada kerana kekeliruan perkataan mesti didatangkan dengan bukti yang jelas, dan saya yakin para hakim yang membuat keputusan jika membuat keputusan atas andaian yang hipopetikal dan dalam kes yang mungkin (jika ada) terlalu terasing.

Bolehkah hanya dengan andaian sesuatu hukum itu ditetapkan?

Mereka tidak akan bergelar hakim jika mereka bukan orang yang bijak dan berhikmah kerana kesan penghakiman akan memberi implikasi yang kepada prinsip besar Islam iaitu prinsip kesejahteraan.

Apa selepas ini?

Saya bangun awal pada hari raya pertama untuk membuat persediaan khutbah Aidil Adha di Masjid Al-Huda Sungai Ara, Pulau Pinang.

Di waktu yang sama saya terdengar sebelum subuh takbir raya dengan suara yang merdu dari cNONEorong masjid berdekatan rumah ayah saya iaitu almarhum Haji Yusof Rawa di Gelugor.

Laungan Allahu Akbar saya sambut dalam hati saya sambil air mata saya berlinangan dan sempat saya berdoa.

"Ya Allah Engkau maha mengetahui hamba-Mu, berikanlah aku kejelasan dan kekuatan untuk mengagungkan nama-Mu dengan menitipkan rahmah-Mu di mata manusia, berikan aku kekuatan untuk berhujah dengan manusia melalui prinsip dan bukan melalui kemarahanku."

Tanpa disedari kedengaran azan subuh selesai doa pada hari raya Aidildha itu, lantas saya terus tertanya apa selepas ini?

(*) DATUK DR MUJAHID YUSOF RAWA ialah pengerusi pertama bagi South East Forum for Interfaith Networking for Peace dan menulis pengalaman berdialog antara agama dalam buku terbaru, Berdialog Dengan Gereja: Sebuah Travelog Kedamaian.