Ahad, 13 Oktober 2013

Kadar kemalangan di tempat kerja turun

 
Lapan bulan pertama tahun ini 2,248 kes berbanding 4,487 kes bagi sepanjang tahun lepas. 




KUCHING: Kadar kemalangan membabitkan keselamatan pekerja di Sarawak dilaporkan menunjukkan penurunan bagi tempoh Januari sehingga Ogos 2013.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Richard Riot Jaem berkata angka itu membuktikan wujudnya kesedaran di kalangan pekerja dan majikan kepentingan menjaga keselamatan di tempat kerja.

“Selain itu ia hasil usaha gigih Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dalam memberi kesedaran kepada pekerja untuk mamtuhi peraturan keselamatan yang telah ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pejabat Kementerian  Sumber Manusia dan Penyampaian Cek Faedah Perkeso di Pejabat Perkeso Sarawak di sini pagi tadi.

Menurut beliau, dalam lapan bulan pertama tahun kadar kemalangan yang dilaporkan adalah sebanyak 2,248 kes berbanding 4,487kes bagi sepanjang tahun lepas.

Sementara itu, tambah beliau jumlah bayarah faedah yang telah dibayar di bawah Skin Bencana Pekerjaan dan Skin Pencen Ilat adalah berjumlah RM12,930,000.

Beliau juga berbangga kerana jumlah majikan dan pekerja yang aktif di negeri ini telah menunjukkan peningkatan memberangsangkan.

Majikan aktif meningkat

Beliau menjelaskan jumlah majikan yang aktif telah meningkat kepada 32,000 pada tahun lepas berbanding 30,515 bagi 2011.

Manakala, tambah beliau jumlah pekerja aktif pula meningkat kepada 415,714 orang pada tahun 2012 berbanding 404,152 orang bagi 2011.

“Bagaimanapun tiada data terkini bagi kedua-dua majikan dan pekerja aktif direkodkan pada tahun ini,” katanya lagi.

Datuk Riot juga berkata Perkeso akan membuka dua buah pejabat cawangan di Limbang dan Mukah memandangkan kedua-dua kawasan itu merupakan lokasi perindustrian pesat di negeri ini.

Di samping itu, katanya lagi Perkeso juga akan menubuhkan Pusat Sehenti di kawasan pedalaman yang terletak jauh dari pejabat seperti di daerah Song, Bakun dan Baram.

Penubuhan Pusat Sehenti itu bagi membantu pekerja dan majikan di kawasan setempat membuat urusan dengan Perkeso tanpa perlu berulang alik ke pejabat Perkeso yang terletak di pekan.

Tiada ulasan: