Jumaat, 4 Oktober 2013

Isu permit akhbar, penerbit The Edge bidas sikap anti-persaingan media lain

OLEH JAHABAR SADIQ, PENGARANG


















Pemilik dan jutawan media Datuk Tong Kooi Ong hari ini membidas sikap anti-persaingan oleh media lawan sebagai punca Putrajaya menangguhkan permit penerbitan kepada akhbar umum, FZ.

FZ, akronim kepada zoo kewangan (financial zoo), sepatutnya menjadi sebuah akhbar bercetak untuk laman portal fz.com yang diterbikan oleh kumpulan media The Edge Communications.

Dalam artikel bertajuk "Say NO to Corporate Kings" di blognya tongkooiong.com (gambar), ahli perniagaan yang dihormati itu berkata Putrajaya telah memberi kelulusan bertarikh 20 Ogos, 2013 untuk permit pencetakan untuk menerbitkan FZ tetapi kemudiaannya menerima sepucuk surat lagi pada 28 Ogos 2013 yang memaklumkan penolakkan permohonan tersebut tanpa sebarang alasan.

 "Apa yang berlaku sepanjang satu minggu antara 20 Ogos ke 28 Ogos 2013? Tiga pihak, setiap seorangnya terlibat dalam syarikat media berlainan telah berjumpa.

"Menjelang 23 Ogos 2013, saya telah dimaklumkan tentang kandungan sepucuk surat yang bakal dikirim, yang bertarikh 28 Ogos 2013, oleh Kementerian Dalam Negeri. Ketua Eksekutif The Edge Media Group telah diberitahu oleh salah seorang daripada tiga pihak ini," tulis Tong dalam artikelnya tanpa menamakan tiga pihak tersebut.

"Kerajaan yang mengatur sektor swasta sekarang ini 'diatur' oleh elit sektor swasta yang berkuasa pula," katanya lagi.

Tong memberi isyarat terhadap kuasa yang menentangnya daripada mendapatkan permit tersebut, mendedahkan beliau telah membuat kerjasama dengan kumpulan Berjaya untuk menggabungkan The Edge dan The Sun pada tahun 2002.

"The Sun mengalami kerugian dan Berjaya ingin berpisah dengannya pada 2008. Kebelakangan ini, saya telah ditanya sama ada saya akan menimbang untuk membeli The Sun semula.

"Saya juga ditanya sama ada akan menimbang untuk bekerjasama dengan The Malay Mail dan Malaysian Reserve," kata beliau, merujuk kepada dua akhbar harian yang dinaungi oleh kumpulan media RedBerry.

Kumpulan Berjaya dikepalai oleh jutawan Tan Sri Vincent Tan manakala RedBerry pula dikuasai oleh Ancom, milik Datuk Siew Ka Wai, dimana kedua-duanya adalam rakan rapat kepada kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Pemberian lesen penerbitan kepada FZ untuk mengeluarkan akhbar harian umum jelas akan menjadi ancaman kepada penerbitan lain. Ia juga membuang peluang 'mencari sewa' kepada sesetengah yang mungkin mendapat keuntungan daripada menjual lesen mereka," tambah Tong.

Dalam artikelnya, beliau menggesa kerajaan supaya menimbang kepentingan pengguna daripada kepentingan "raja korporat".

"Kami tahu apa yang terbaik untuk pengguna, walaupun terdapat perdebatan mengenai jangka masa panjang berlawanan dengan matlamat jangka masa pendek, mengenai pekerjaan dan melibatkan sokongan industri tempatan serta membina masyarakat yang kritikal untuk mencapai skala ekonomi.

"Kita boleh menggabungkan objektif ini menjadi satu ukuran pertukaran untuk mencapai hasil yang jelas, ringkas dan hasil yang boleh diukur," katanya lagi.

Malah, Tong menggesa Putrajaya supaya menguatkuasakan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), memberi mandat untuk melindungi pengguna dan menggubal Akta Persaingan bagi membenarkan "pihak yang mengalami kecederaan untuk menyaman menerusi mahkamah ke atas kerugian yang dialami berpunca daripada sikap anti-persaingan".

"Apa halangan di hadapan jalan untuk memberi yang terbaik kepada pengguna? Kekuasaan, elit yang kekal berkuasa!

"Adakah kita sanggup untuk terus kekal dibawah 'raja korporat?'" soal beliau, sambil menegaskan Malaysia harus mengikut sikap yang diamalkan negara lain untuk menolak mereka ini. -

Tiada ulasan: