KUALA LUMPUR - Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa hari ini mengatakan bahawa hanya Umno sahaja yang mahukan Pas berundur dari arena politik tanah air.

Jelas Husam lagi, Pas sekarang sudah bergerak ke seluruh negara dan sudah diterima oleh rakyat dan  penerimaan parti Pas terbukti apabila berjaya membantu Pakatan Rakyat (PR) mendapat majoriti undi popular dalam PRU13 pada Mei lalu.

"Dulu Pas bertapak di Pantai Timur sekarang Pantai Barat sekarang seluruh negara.

"Sekarang Pas hanya ada satu sahaja pilihan iaitu bergerak ke hadapan bagi memastikan Pas dan PR cemerlang menjelang PRU yang akan datang," katanya ketika sesi dialog Survival Pas Dalam Arena Politik Malaysia.

Turut hadir dalam dialog itu, Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub; Penolong Setiausaha Agung Pas, Dr Syed Azman Syed Ahmad dan Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Pas Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad.

Sehubungan dengan itu, katanya Pas berpendirian tidak akan meninggalkan PR bagi memastikan Pas dan PR berjaya menakluk Putrajaya pada PRU akan datang.

"Oleh itu, kita akan perkasakan Pas dalam PR.

"Jadi tiada sebab untuk Pas tinggalkan PR," katanya.

Dialog ini anjuran  Free Public Forum Malaysia (FPFM) serta berlangsung di  KL Selangor Chinese Assembly Hall (KLSCAH).

Hampir 100 orang menghadiri sesi dialog tersebut.