Khatijah Bee Mohd Noor
GEORGETOWN - Pemilihan sayap Wanita Umno Bahagian Tanjung hari ini tegang apabila salah seorang calon yang bertanding untuk jawatan ketua Wanita dikatakan hilang kelayakan bertanding pada saat akhir.
Khatijah Bee Mohd Noor, 63, yang menentang penyandangnya, Norjan Abdul Hamid dikatakan hilang kelayakan kerana menjadi Ketua Wanita Veteran Umno Pulau Pinang dan Ketua Wanita Veteran Bahagian Tanjung.
Difahamkan, mengikut peraturan dan undang-undang veteran Umno, mana-mana ketua veteran tidak dibenarkan bertanding untuk jawatan lain (ketua).
Persidangan Wanita yang diadakan sejak jam 10 pagi kecoh apabila beberapa perwakilan bangun melahirkan rasa tidak puas hati dengan keadaan itu.
Setiausaha Umno Bahagian Tanjung, Noor Rahim Abdul Wahab berkata, tiada apa yang boleh dilakukan mengenai perkara itu (hilang kelayakan) kerana pihaknya menjalankan tanggungjawab berlandaskan surat yang dikemukakan Umno pusat.
Disebabkan hilang kelayakan bertanding, Khatijah terpaksa memberi laluan mudah kepada Norjan yang memegang jawatan ketua wanita bahagian sejak 1999 untuk diumumkan menang tanpa bertanding.
Sementara itu, Khatijah yang ditemui media melahirkan rasa kesalnya dengan apa yang berlaku dan akan membuat bantahan kepada jawatankuasa pemilihan dalam masa terdekat.
Menurutnya, beliau dimaklumkan oleh setiausaha bahagian mengenai perkara itu kira-kira jam 3 petang semalam.
"Saya rasa dianayai apabila menjadi begini kerana sebelum menyerahkan borang pencalonan untuk bertanding saya terlebih dahulu melepaskan jawatan ketua Wanita veteran.
"Walaupun kecewa dengan apa yang berlaku, saya akan tetap meneruskan perjuangan bersama Umno dan menabur bakti kepada masyarakat," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan