MUADZAM SHAH – Imam yang dikatakan pengikut ajaran Syiah yang ditahan di kuarters kakitangan Ladang Risda Pekoti Timur dalam serbuan pada 27 September lalu kini digantung tugas sementara menunggu siasatan terhadapnya selesai.
Pegawai Agama Islam Muadzam Shah, Shaari Abdul Rahman berkata, imam berkenaan yang direman 24 jam telah dibebaskan dengan ikat jamin selepas siasatan awal dijalankan terhadapnya.
"Beliau dibebaskan dengan jaminan penguat kuasa dan dua orang lagi penjamin lain.
“Sehubungan itu kita telah meminta pihak pengurusan ladang untuk mencari imam lain sebagai ganti beliau,” katanya.
Sinar Harian 29 September lalu melaporkan tentang seorang imam di Masjid Ladang Risda Pekoti Timur yang ditahan di rumahnya bersama dengan buku dan barang yang berkaitan fahaman Syiah seperti batu turbah, kain kafan dan tasbih.
Hasil siasatan awal mendapati barang-barang tersebut diperoleh di Iran ketika suspek mengikut satu rombongan ke negara itu dan Karbala, Iraq, anjuran sebuah kumpulan.
Difahamkan imam yang berumur 64 tahun itu disyaki mengamalkan ajaran itu sejak enam tahun lalu.
Pihak berkuasa juga percaya imam berkenaan mempunyai rakan-rakan dan pernah hadir secara berkala ke beberapa pertemuan di beberapa tempat di antaranya Gombak serta Segamat.
Pengikut Syiah itu disiasat di bawah Seksyen 165 dan 170 Enakmen Pentadbiran Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan