KUALA LUMPUR - DAP hari ini menafikan pihaknya menggunakan dakwat tidak kekal sepanjang pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) semalam.

Setiausaha Organisasinya, Anthony Loke Siew Fook menegaskan pihaknya telahpun mengumumkan kepada perwakilan DAP bahawa dakwat itu hanya kekal dalam tempoh dua hingga tiga jam, memandangkan proses pengundian hanya tamat beberapa jam sahaja.

"Pengundian CEC semalam telah berakhir kira-kira jam 1.30 petang, pengurus pemilihan tegas dalam hal ini.

"Walaupun dakwat itu tidak kekal hingga tiga hari, namun pada lima minit terakhir sebelum kaunter tutup, tiada seorang pun perwakilan dibenarkan mengundi termasuklah seorang wakil rakyat (Adun) kami.

Beliau berkata, demikian ketika diminta mengulas dakwaan bekas Adun Teratai, Jenice Lee Ying Ha bahawa dakwat yang digunakan pada pemilihan semula CEC di One World Hotel semalam tidak kekal apabila kesannya hilang kira-kira 80 peratus setelah dikesat dengan tisu.

Lee, 33, yang dilaporkan blog jinggo-fotopages hari ini memaparkan gambar beliau dengan menunjukkan jari yang dicalit dakwat kekal selepas pemilihan semalam.

Walaupun Lee telah dipecat dari parti pada 20 April lalu melalui media kerana bertanding sebagai calon bebas pada PRU13, namun beliau masih bergelar perwakilan dan layak mengundi semalam.