Rabu, 9 Oktober 2013

DAP gesa Zahid, Shabery mohon maaf kerana tipu rakyat

OLEH MOHD FARHAN DARWIS























DAP menggesa agar Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana didakwa berbohong berhubung pendedahan Laporan Ketua Audit Negara 2012.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng (gambar) berkata kenyataan kedua-dua pemimpin berkenaan bercanggah dengan kenyataan Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang berhubung pembayaran artis-artis K-Pop dan juga isu kehilangan aset polis bernilai RM1.3 juta.

"Kedua-dua menteri mesti segera meminta maaf, jika tidak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mestilah bertindak sekiranya beliau mahu mengekalkan sebarang sisa keyakinan awam terhadap kejujuran, kemahiran dan profesionalisme menteri-menterinya," kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

 Menurut Lim, Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden Umno berbohong apabila mengatakan pihak polis telah memberi penjelasan kepada Jabatan Audit tentang kehilangan alatan termasuk senjata api bernilai RM1.3 juta.

Manakala Shabery pula katanya berbohong apabila berkata bayaran RM1.6 juta untuk membawa masuk artis-artis K-Pop telah dibiaya penuh oleh penaja.

"Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang mendedahkan pembohongan mereka," kata Ketua Menteri Pulau Pinang itu lagi.

Kegagalan dan salahlaku kewangan dalam urusan kerajaan tegas Lim adalah amat kritikal terhadap ekonomi negara kerana perolehan dari segi barangan, kerja dan perkhidmatan setiap tahun membentuk 25% daripada kadar nominal KDNK berbanding ekonomi negara maju lain di mana perolehan tahunannya hanyalah 12% daripada KDNK.

"Dengan kata lain, Malaysia rugi dua kali ganda berbanding negara maju dalam hal rasuah atau pembaziran dana awam," tambahnya lagi.

Laporan Ketua Audit Negara 2012 telah mendedahkan pasukan keselamatan berkenaan merekodkan kehilangan aset termasuk senjata api, gari dan juga kenderaan yang berkemungkinan berlaku semasa operasi.

"Setakat ini orang awam dimaklumkan oleh Ketua Polis Negara dan Menteri Dalam Negeri bahawa senjata api yang hilang itu berkemungkinan jatuh ke dalam laut, walaupun tidak ada laporan polis yang dibuat lantaran kehilangan tersebut.

"Adakah 29 buah kenderaan polis itu juga turut ke laut perginya?" soal Lim.

Ketirisan, pembaziran dan salah laku kewangan ini kata Lim memberi kesan buruk terhadap kadar pertumbuhan ekonomi.

"Pemimpin BN tidak patut menafikan hakikat ini tetapi mengambil langkah-langkah untuk menangani kelemahan-kelemahan yang disebutkan dalam Laporan Ketua Audit Negara," katanya.

Tiada ulasan: