KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan mengemukakan kertas cadangan kadar tambang baharu perkhidmatan teksi untuk seluruh Semenanjung kepada Kabinet pada suku pertama tahun depan berikutan kenaikan pelbagai kos pada masa ini.

Pengerusinya Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, kadar baharu itu akan ditentukan selepas SPAD mengambil kira hasil kajian, melakukan semakan secara holistik serta mendapatkan input serta maklum balas daripada pihak terlibat dalam sektor itu.

"Kadar itu juga mengambil kira komponen teksi iaitu kenderaan, peralatan, bahan api, penyenggaraan, 'overhead' dan kos buruh selain kos sara hidup dan kualiti perkhidmatan," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan program Interaksi Bersama Pengguna dan Industri Teksi - Kajian Kadar Tambang Teksi di sini, hari ini.

Program itu dihadiri wakil persatuan-persatuan pemandu teksi, persatuan pengguna, aktivis masyarakat serta kementerian pengangkutan dan pelancongan.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif SPAD Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal.

Syed Hamid berkata kali terakhir kadar tambang teksi dinaikkan ialah pada 2009.

Dalam pada itu, beliau berkata kira-kira 13,000 teksi bandar merangkumi teksi Bajet, Eksekutif dan Premier akan melalui pelan migrasi menjadi Teksi 1Malaysia (TEKS1M) menerusi Inisiatif Penambahbaikan Teksi (2013-2015) dalam Pelan Transformasi Industri Teksi.

"Kami jangka kira-kira 7,500 TEKS1M yang menggunakan Proton Exora akan beroperasi sepenuhnya pada 2015," katanya.

Justeru, beliau berharap kerajaan dapat menimbangkan peruntukan sesuai untuk pelaksanaan TEKS1M dalam Belanjawan 2014 yang akan dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 25 Oktober ini.

Pada masa ini, terdapat kira-kira 60,000 pemandu teksi di Semenanjung Tanah Melayu.  - Bernama