Ahad, 13 Oktober 2013

Cabaran polis kepada Surendran turut serta operasi polis tidak masuk akal, kata PKR

OLEH HASBULLAH AWANG CHIK




Cabaran yang dikemukakan oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi laman Twitter kepada Naib Presiden PKR N. Surendran untuk turut bersama dalam operasi tembak-menembak adalah sesuatu yang tidak masuk akal, kata PKR.

Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar (gambar) berkata, Surendran dan rakyat Malaysia berhak meminta polis meningkatkan tahap profesionalisme dan pada masa sama perlu dilindungi polis tanpa dimomokkan dengan ugutan serta cabaran yang membahayakan.

“Cabaran tersebut langsung tidak mengambil peduli isu paling utama iaitu kelemahan polis sebagaimana dibangkitkan dalam Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

 “Surendran tidak perlu dilibatkan dalam operasi berisiko tinggi ini terutama cabaran yang tidak berprinsip dan tidak profesional. Surendran atau mana-mana ahli Parlimen tidak perlu melayan cabaran seperti ini kerana ditakuti akan terus tercampak ke dalam perbuatan tidak bertanggungjawab.

“Saya mahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak terlalu menumpukan perhatian kepada pemilihan parti sehingga terlupa untuk mengawal perasaan dan tingkahlaku ahli Kabinetnya selain memastikan Ketua Polis Negara menarik-balik kata-kata tidak bertanggungjawab tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nurul Izzah, yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, turut membangkitkan perbezaan antara statistik jenayah yang dikemukakan bekas menteri dalam negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan penggantinya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, Hishammuddin pernah menafikan peningkatan kadar jenayah disebabkan bekas tahanan Ordinan Darurat (EO), kerana daripada 1,467 bekas tahanan yang dibebaskan pada 2012, cuma empat atau 0.27% sahaja yang dilaporkan terlibat semula dengan jenayah.

“Dalam tempoh yang singkat, media arus perdana terus cuba mempengaruhi rakyat dengan versi Ahmad Zahid, untuk memperkenalkan semula tahanan tanpa bicara dibawah pindaan Akta Pencegahan Jenayah 1958 (PCA) yang diluluskan baru-baru ini.

“Polis Diraja Malaysia(PDRM) juga pernah melaporkan bahawa kadar jenayah berada dalam trend menurun sejak 2010 walaupun setelah undang-undang tahanan pencegahan dimansuhkan.

“Pada 2010, polis melaporkan penurunan kadar jenayah sebanyak 7%; 2011 pula penurunan sebanyak 9%; dan di antara Januari hingga Jun 2012, penurunan sebanyak 5.3% direkodkan,” katanya

Tiada ulasan: