Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Bung Moktar Radin meminta Lembaga Disiplin Umno turun padang bagi memantau calon yang bertanding di peringkat Bahagian Kinabatangan.
  
Bung Moktar yang juga ketua Umno Bahagian Kinabatangan berkata beliau menerima aduan daripada perwakilan Umno di Kinabatangan mengenai ugutan yang diterima mereka yang mempunyai jawatan di peringkat kampung.
  
Beliau berkata mengugut para perwakilan yang mempunyai jawatan di peringkat kampung terutamanya ketua cawangan untuk diambil tindakan jika tidak menyokong adalah satu kesalahan dan melanggar perlembagaan parti.
  
"Aduan yang diterima mengatakan bahawa mana-mana ketua cawangan yang mempunyai jawatan di peringkat kampung yang tidak menyokong calon berkenaan yang bertanding di peringkat bahagian Kinabatangan ini akan diambil tindakan," katanya dalam satu kenyataan di Sandakan hari ini.
  
Bung Moktar kesal dengan sikap calon terbabit yang menggunakan taktik itu yang disifatkan satu perbuatan kotor dan melanggar garispanduan berkempen dalam pemilihan peringkat bahagian.
  
Tanpa menyatakan identiti calon terlibat, beliau berharap Lembaga Disiplin Umno membuat pemantauan dan seterusnya mengambil tindakan terhadap calon berkenaan.
  
Bung Moktar yang mempertahankan jawatan ahli Majlis Tertinggi dan ketua Umno Bahagian Kinabatangan berkata pemantauan itu bagi memastikan tiada taktik kotor dilakukan untuk meraih undi perwakilan.   
- Bernama