Rabu, 23 Oktober 2013

Bila agaknya Najib nak tunaikan janji tukar ketua menteri Sarawak?



Oleh Shahbudin Husin

 Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berada di Sarawak untuk merasmikan Perhimpunan Agung parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang di pimpin Ketua Menterinya, Tan Sri Taib Mahmud.

Secara kasarnya tiada apa-apa yang istimewanya dengan kehadiran Najib itu kerana sudah menjadi amalan biasa sebagai Pengerusi  Barisan Nasional (BN), beliau akan merasmikan semua perhimpunan agung parti-parti komponen yang bergabung di bawah BN.

Tetapi secara halusnya, kehadiran PM ke Sarawak semalam terselit keunikan tersendiri kerana ia adalah genap kira-kira dua setengah tahun atau separuh penggal kerajaan negeri yang ada sekarang ditubuhkan selepas pilihan raya umum negeri yang diadakan pada April 2011 yang lalu.

Jika kita masih masih ingat, dalam kempen pilihan raya negeri yang paling sengit ketika itu dan isu kepimpinan Taib yang sudah begitu lama iaitu melebihi 30 tahun menjadi perkara yang begitu membimbangkan ketika itu. Isu kepimpinan beliau yang terlalu lama di samping kekayaan keluarganya yang luar biasa hampir menjadi punca tewasnya BN ketika itu.

Untuk menangani isu tersebut, Najib akhirnya terpaksa membuat pengumuman di saat-saat akhir bahawa pertukaran ketua menteri Sarawak akan dilakukan selepas pilihan raya berakhir dan meminta rakyat terus memberi sokongan kepada BN supaya proses peralihan kuasa itu dapat dilakukan dengan lancar.

Diakui oleh banyak pihak bahawa walaupun pelbagai faktor turut menyumbang kepada kemenangan BN di Sarawak ketika itu tetapi faktor terbesarnya ialah kerana janji mahu mengundur dan menggantikan Taib. Di sebalik gelombang dan kempen agresif pembangkang waktu itu, janji perubahan yang dilakukan oleh Najib akhirnya melembut dan mencairkan hati rakyat Sarawak untuk terus menyokong BN.

Meskipun tidak menyebut secara tepat bila pertukaran itu akan dilakukan dan Najib hanya mengatakan ia akan dilakukan pada tarikh dan waktu yang sesuai, tetapi rakyat Sarawak tentulah mengharapkan pertukaran itu tidak dilengah-lengahkan lagi atau berlarutan sehingga ke penghujung penggal.

Taib pula sebaik memperolehi mandat dua pertiga daripada rakyat dan mengangkat sumpah sebagai ketua menteri, tidak ragu-ragu ketika itu mengatakan bahawa beliau akan berundur sebagai ketua menteri pada separuh penggal mandat yang diperolehinya itu.

Dalam tempoh separuh penggal atau dua tahun setengah itu juga, Taib menjanjikan akan mengenalpasti dan membimbing pengganti yang bakal mengambil alih tempatnya.

Tetapi di mana semua janji itu sekarang?

Jika dikira tempoh masa separuh penggal yang djanjikan itu Taib sudah pun matang sebenarnya. Dengan ketibaan Najib ke Sarawak untuk merasmikan perhimpunan agung PBB semalam, ia dikira waktu yang paling sesuai untuk Najib mengumumkan pengganti Taib.

Namun apa yang berlaku, bukan saja pengunduran Taib tidak disebut, bahkan siapa pengganti beliau masih lagi kabur sehingga ini. Baik Najib mahupun Taib tidak bercakap langsung soal Ketua Menteri Sarawak yang baru. Kedua-dua mereka seolah-olah sudah lupa kepada janji yang dibuat sebelum ini.

Bahkan dalam acara perasmian perhimpunan agung PBB itu, Najib dan Taib saling puji-memuji antara satu sama lain, suatu hakikat yang membayangkan janji sebelum ini bakal dimungkiri dan tempoh pemerintahannya mungkin berakhir sehingga pilihan raya negeri yang akan datang.

Taib dalam ucapan alu-aluannya memuji kepimpinan Najib dalam membawa pembaharuan kepada negara dah menyatakan rakyat Sarawak turut mendapat nikmat daripada segala pembaharuan itu. Beliau juga menyatakan ikrar dan sokongan akan terus berdiri teguh di belakang Pengerusi BN itu.

Najib pula dalam ucapan perasmiannya membalas pujian itu dengan menyifatkan Sarawak sebagai "tanah subur" bagi BN berdasarkan pencapaian cemerlang dalam pilihan raya umum lalu.

Hakikat ini, tambahnya memperlihatkan keupayaan Taib dalam memimpin negeri Sarawak yang tidak dapat disangkal oleh sesiapa pun.

"Inilah kehebatan orang lama, beliau masih mampu memanaskan keadaan. Jangan ingat orang lama tidak boleh memanaskan keadaan," kata Najib lagi.

Pujian menggunung dan seakan-akan mahu terus mengekalkan tempoh pemerintahan Taib dilihat agak mengejutkan dan seolah-seolah Najib sudah lupa kepada janjinya sebelum ini. Atau barangkali buat-buat lupa dan sengaja lupa!

Kalaulah pujian melambung kepada Taib itu dinyatakan ketika kempen pilihan raya 2011 lalu dan tidak disertai janji mahu menukar kepimpinan Taib, barangkali juga keputusan berbeza yang dicapai oleh BN dalam pilihan raya itu. Oleh itu, diharapkan Najib tidak lupa hakikat itu.

Walaupun masih ada tempoh masa lagi untuk Najib menunaikan janjinya kepada rakyat Sarawak, semoganya beliau tidak lupa dan alpa dengan janjinya itu.

Pepatah juga selalu mengingatkan, lembu dipegang pada tali, manusia dipegang pada janji.

Dalam tempoh yang makin singkat untuk menunaikan janji itu, elok juga jika Najib dapat meluangkan masa menghayati senikata lagu Apa Guna Berjanji nyanyian allahyarham Saloma yang antara bait-baitnya berbunyi, " Apa guna berjanji, kalau tak ditepati, kelak meracun hati, tuan sendiri menggigit jari”. – shahbudindotcom.blogspot.com,

Tiada ulasan: