KENYATAAN MEDIA
Kenyataan Berkenaan Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Pindaan Ke Atas Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA)
BERSIH 2.0 berasa kesal dan terpanggil untuk menyatakan pendirian ke atas situasi perundangan ke atas hak asasi manusia yang makin terhakis di Malaysia dewasa ini.
Semalam, kita menyaksikan kelulusan Seksyen 203A Kanun Keseksaan dalam Dewan Rakyat, tanpa mengambil kira bantahan ke atasnya yang meliputi hal-hal termasuklah penakrifan yang terlalu luas dan kesan-kesan ke atas usaha melawan rasuah.
Seksyen baru ini membenarkan hukuman ke atas individu-individu yang mendedahkan kepincangan, penyelewengan, dan perlakuan rasuah dalam dan oleh Kerajaan, yang jelas memberi kesan kepada kepentingan orang awam; dalam masa yang sama masih terus melindungi penjenayah dengan perundangan berkaitan kerahsiaan.
Hari ini, satu lagi usul zalim dibentang untuk kelulusan Parlimen dengan semangat penindasan yang sama. Usul ini dibentang untuk meluaskan lagi skop Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) dengan menakrifkan kesalahan di bawah Bab VI, VIA dan VIB Kanun Keseksaan dan undang-undang anti penyeludupan manusia sebagai kesalahan keselamatan.
Dengan penuh rasa kecewa, kami menilai perkembangan ini sebagai satu bentuk kemerosotan ke atas hak kebebasan asasi. Jelas, usul-usul ini cuba untuk diluluskan dalam Parlimen secara tergopoh-gapah tanpa ada sebarang bentuk perbincangan dengan pihak-pihak berkaitan termasuklah rakyat yang selama ini didakwa sentiasa dilindungi oleh Kerajaan.
Tindakan-tanduk Kerajaan sejak tamat Pilihan Raya ke 13 yang lalu sama sekali bercanggah sepenuhnya dengan janji-janji dan kenyataan oleh Perdana Menteri yang bangga mempromosikan negara ini sebagai kononnya “negara demokrasi terbaik dunia”.
Kami menuntut Kerajaan ini mengambil tanggungjawab penuh dan mengadakan perbincangan bersama pihak-pihak berkepentingan yang berkaitan berkenaan dengan usul-usul yang telah dan akan diluluskan di masa hadapan sebelum usul-usul ini dikuat kuasakan.
Kami akan terus memerhati dan memantau perkembangan seterusnya oleh Kerajaan, sejajar dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri YB Hajah Nancy Shukri yang menyatakan bahawa beliau akan mengusulkan pindaan semula ke atas Seksyen 203A yang disifatkan penakrifannya sebagai terlalu luas.
Seharusnya, tiada undang-undang baharu harus digubal dan diluluskan tanpa sebarang perbincangan atau konsultasi yang wajar terlebih dahulu.
Kegagalan untuk berbuat demikian membuktikan bahawa Kerajaan tidak pernah menghormati hak kebebasan individu dan pandangan rakyat. Ia turut menggambarkan ketidak seriusan Kerajaan mengangkat martabat hak asasi manusia dalam negara ini.
Rakyat telah menunjukkan komitmen mereka terhadap ketelusan dan akauntabiliti dalam negara ini. Adakah Kerajaan akan turut mendakap semangat yang sama?
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0
Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan