SHAH ALAM – Laporan Ketua Audit Negara tahun 2012 bagi negeri Kelantan siri 1 menyebut, seramai 93 penerima Bantuan Am yang telah meninggal dunia masih menerima bantuan sejak tahun 2005 sehingga tahun lalu.

Menurut laporan audit tersebut, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah mengesahkan bahawa 93 penerima itu telah meninggal dunia.

“Hasil pengauditan mendapati seramai 93 orang penerima Bantuan Am di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Kota Baharu, Pejabat Kebajikan Masyarakat Jajahan Pasir Mas dan Pejabat Kebajikan Masyarakat Jajahan Pasir Puteh telah meninggal dunia antara tahun 2005 hingga 2012, berdasarkan pengesahan daripada JPN.

“Keadaan ini berlaku kerana kajian semula tidak dibuat terhadap penerima bantuan untuk mengetahui status mereka dan terdapat juga kajian semula yang tidak tepat kerana mengesyorkan bantuan diteruskan walaupun sebenarnya penerima telah meninggal dunia,” kata laporan tersebut.

Bagi tahun 2012 sahaja, seramai 39 penerima dilaporkan sudah meninggal dunia yang melibatkan daerah Kota Baharu, Pasir Mas dan Pasir Puteh.

Kes ini menunjukkan peningkatan mendadak iaitu 1 kes  bagi 2005 dan 2006, 2 kes bagi 2007 dan 2008, 4 kes bagi 2009, 10 kes bagi 2010 dan 36 kes bagi 2011.

Semakan Audit juga mendapati terdapat 41 kes bantuan dimasukkan melalui akaun bank kepada penerima meninggal dunia membabitkan bantuan berjumlah RM110,700.

Daripada jumlah tersebut, sejumlah RM65,691 telah dikeluarkan oleh waris penerima bantuan.

Skim Bantuan Am di Negeri Kelantan melibatkan pemberian bantuan kewangan sebanyak RM50 hingga RM90 melalui peruntukan Kerajaan Negeri dan tambahan sebanyak RM15 hingga RM30 melalui peruntukan Kerajaan Persekutuan menjadikan jumlah Bantuan Am bulanan antara RM65 hingga RM120.

Sejumlah RM22.36 juta diperuntukkan dan dibelanjakan di bawah peruntukan Kerajaan Negeri sementara peruntukan Kerajaan Persekutuan adalah berjumlah RM7.82 juta dan RM7.36 juta daripadanya telah dibelanjakan bagi Skim Bantuan Am tahun 2010 hingga 2012.

Ketua Audit Negara mengesyorkan agar jabatan yang terlibat mengambil langkah bagi menangani kelemahan tersebut.

“Mewujudkan koordinasi antara JKMN dan JPN bagi memudahkan dan mempercepatkan pengesahan penerima bantuan dilakukan serta menghentikan pembayaran bantuan kepada penerima yang telah meninggal dunia.
“Memastikan wang bantuan yang telah dimasukkan ke dalam akaun bank penerima bantuan yang telah meninggal dunia dikembalikan semula kepada JKMN,” katanya.