DAP mengecam Malaysian Airlines (MAS) kerana mengadakan tayangan khas Tanda Putera bagi menyambut ulang tahun ke-41 sebagai ‘hadiah istimewa' buat pekerja MAS.

Apa jenis motivasi yang dapat dijadikan sumber inspirasi daripada filem yang begitu tidak popular dan diragui ini buat para pekerja MAS demi menjangkau prestasi yang lebih baik, terutamanya untuk merubah kerugian-kerugian besarnya selama ini?

Pengumuman pengarah urusan MAS mengenai tayangan itu menghina pelanggan MAS yang tersinggung dengan penipuan yang bukan sahaja salah dari segi sejarah malah merupakan penghinaan yang berbaur perkauman.

Malah pihak Tanda Putera sendiri telah mengaku bahawa ia berbohong dengan alasan lemah kononnya menggunakan lesen kreatif untuk membikin wayang gambar.

Sebagai contoh, penerbit Tanda Putera telah mengakui kesilapan yang mereka lakukan apabila menuduh kononnya pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang telah membuang air kecil pada tiang bendera dalam satu perkongsian Facebook tahun lalu.

Di Facebook, ‘Tanda Putera' malah telah memohon maaf kepada pemimpin DAP Lim Kit Siang yang dimalukan akibat daripada pembohongan sedemikian.

Utusan Malaysia juga telah meminta maaf kepada Lim Kit Siang dan saya kerana membuat pembohongan yang serupa.

Tindakan MAS itu tindakan penafian terhadap krisis kewangannya yang begitu buruk, dengan hutang yang membukit dan simpanan tunai yang kian berkurang.

Bagaimana mungkin Tanda Putera dapat menjadi sumber motivasi kepada kakitangan MAS padahal filem tersebut adalah penuh penipuan?

Tidak hairanlah kenapa CIMB Research meletakkan penilaian prestasi rendah terhadap saham MAS.

Atau adakah MAS kini begitu terdesak untuk bergantung kepada penipuan Tanda Putera untuk mengelirukan orang awam dan dirinya sendiri bahawa MAS masih menjana keuntungan?

Rakyat tidak akan mudah tertipu. Orang awam boleh membanding prestasi buruk MAS walaupun begitu banyak dana awam telah dilaburkan, berbanding dengan Air Asia Bhd.

Meskipun tidak menerima satu sen dana awam, Air Asia begitu konsisten memperlihatkan prestasi cemerlang berbanding MAS dengan tambang yang lebih murah dan kini lebih hebat dari MAS dalam hal permodalan pasaran, pesawat dan harga saham.

Rakyat berhak mempersoal nilai wang bagi RM19 bilion yang dibelanjakan oleh kerajaan persekutuan sejak 1998 bagi memastikan MAS boleh membayar hutang-hutangnya, termasuk menjamin pinjaman MAS berjumlah RM12.3 bilion.

Tanda Putera dipenuhi kontroversi politik memandangkan ia diniatkan sebagai senjata ketakutan bagi membantu BN memenangi undi orang Melayu.

Dengan menayangkan sebuah filem politik yang dipenuhi penipuan sebagai hadiah istimewa buat kakitangan memberi isyarat yang salah bahawa ia sebenar-benarnya telah kehilangan arah.

Jelas sekali MAS tidak tahu bagaimana untuk mengurus pemulihan korporat ini supaya dapat menjana keuntungan, tetapi sebaliknya bergantung kepada penipuan dan mencampur aduk politik dan bisnes demi menyelamatkan dirinya dengan mendapatkan lebih banyak bantuan kewangan daripada kerajaan persekutuan.

LIM GUAN ENG setiausaha agung DAP dan ahli Parlimen Bagan.