Ahad, 25 Ogos 2013

Wan Saiful: '1Malaysia jadi jenama untuk rasuah rakyat'



Seorang pengkaji sosiopolitik Wan Saiful Wan Jan berkata beliau melihat bahawa konsep 1Malaysia yang diperkenalkan kerajaan tidak lama dahulu kini lebih sinonim dengan kebajikan.

Ketua pegawai eksekutif Institut bagi Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi itu juga berkata konsep yang sepatutnya menyatukan rakyat Malaysia kini tidak lebih daripada "jenama untuk merasuah rakyat".

"Ia kini menjadi cara untuk kerajaan merasuah rakyat dan ini sangat malang.

"Ia menukar rakyat Malaysia menjadi satu masyarakat yang bergantung bantuan kerajaan yang dijenamakan sebagai 1Malaysia," katanya pada forum di Sidang Kemuncak Pemimpin Pelajar Malaysia ketujuh di Kuala Lumpur pagi tadi.

Turut bercakap pada forum bertajuk "1Malaysia: Adakah Toleransi Mencukupi buat 1Malaysia" adalah ahli majlis tertinggi Umno Datuk Saifuddin Abdullah.

Dalam slot berkenaan, Saifuddin menjawab soalan hadirin tentang kemampuan sekolah satu aliran untuk mewujudkan perpaduan.

Mengulas perkara itu, Saifuddin berkata isu sebenar dalam perbahasan yang membandingkan sekolah vernakular dan sekolah satu aliran ialah keraguan tentang kualiti pendidikan.

Justeru tegasnya, sekolah vernakular adalah satu cara bagi memastikan ibu bapa mempunyai pilihan dalam persekolahan anak-anak mereka.

"Isu sebenar sistem pendidikan kita bukanlah perpaduan, tetapi kualiti.

"Saya akan membahaskan pendidikan dari sudut kualiti berbanding sudut perpaduan kerana apabila orang ramai membahaskan perkara ini daripada sudut perpaduan, mereka akan terlepas pandang isu sebenar (pendidikan)," katanya.

Tiada ulasan: