Jumaat, 2 Ogos 2013

Tuduh PAS amal Syiah politik murahan BN, kata Ahli Parlimen Shah Alam

Oleh Hasbullah Awang Chik

















Pihak yang menuduh ahli kanan PAS terlibat dengan kegiatan dan penyebaran ajaran Syiah tidak lain hanyalah mengamalkan politik murahan serta cuba untuk menimbulkan ketakutan rakyat dan mengundang perpecahan parti itu menurut Khalid Samad.

Ahli Parlimen Shah Alam itu mengulangi kenyataan bahawa tiada ahli kanan PAS berpegang kepada ajaran Syiah kerana parti itu dipimpin di bawah Majlis Syura Ulama yang pastinya lebih baik dari Umno dan Barisan Nasional (BN).

Katanya, ahli PAS berpegang teguh kepada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASJ) berpandukan sumber al-Quran, Sunnah Rasulullah saw, Ijmak Ulama dan Kias yang sememangnya berbeza dari fahaman konsep yang diamalkan Syiah.

 “Dunia globalisasi kini melihatkan kita sudah tidak boleh mengawal sumber maklumat yang disampaikan. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom sendiri mengakui Syiah disebarkan melalui internet maka ini membuktikan Dasar Pendidikan Negara telah gagal melengkapkan pelajar menghadapi ancaman Syiah.

“Generasi muda tertarik dengan revolusi Iran mengangkat perjuangan kerajaan yang adil serta agenda untuk menentang Israel. Perkara ini sebenarnya juga ditekankan dalam ASJ, maka tidak perlu menjadi Syiah untuk tegakkan keadilan, membasmi rasuah dan salah guna kuasa,” katanya semasa satu sidang media di pejabatnya di Shah Alam hari ini.

Katanya, pendakwah yang sering menyarankan orang ramai agar berdiam diri apabila ditindas kerajaan, merekalah pendorong Syiah kerana melihatkan seolah-olah ASJ tidak memberikan alternatif untuk mengangkat keadilan, mewujudkan kerajaan telus dan berkebajikan.

Sementara itu, Khalid turut menggesa Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional (BN) agar segera menyatakan pendirian berhubung penindasan yang berlaku oleh pihak tentera di Mesir kerana kerajaan dilihat membisu dalam isu berkenaan yang seakan-akan menyatakan pendirian Malaysia menyokong rampasan kuasa itu.

Beliau berkata PAS telah menghantar Timbalan Pengerusi Lujnah Antarabangsanya, Syed Azman Nawawi ke Mesir bagi bersama-sama penunjuk perasaan di Kaherah untuk menyatakan bantahan terhadap penggulingan kerajaan demokrasi Mohamed Morsi setelah 400 orang terbunuh di negara bergolak itu

Tiada ulasan: