Lebih 50 peratus sayap Puteri Umno di Kelantan dikesan tidak dapat mengadakan mesyuarat di peringkat cawangan berikutan tidak cukup anggota untuk mengadakan mesyuarat tersebut.
  
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno Kelantan Datuk Hasan Harun berkata keadaan itu disebabkan terdapat anggota sayap berkenaan yang tinggal di luar Kelantan kerana bekerja.
  
"Ini sesuatu yang merunsingkan kita kerana anggota minimum untuk mengadakan mesyuarat hanya perlukan 11 anggota sahaja," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kota Bharu hari ini.
  
Terdapat 2,204 cawangan di 14 bahagian Umno di negeri ini dan tarikh akhir bagi mengadakan mesyuarat ialah 15 Sept depan.
  
Hasan berkata situasi sama turut berlaku pada sayap Pemuda tetapi cawangan yang terlibat lebih kecil iaitu kira-kira 30 peratus.
  
"Berbeza dengan sayap Wanita menunjukkan mesyuarat tersebut berjalan dengan lancar kerana kaum ibu masih ramai yang menetap di negeri ini," katanya.
  
Beliau berkata ramai golongan muda di negeri ini yang berhijrah termasuk ke Kuala Lumpur dan beberapa bandar besar yang lain untuk mencari pekerjaan kerana kegagalan kerajaan Kelantan pimpinan PAS menyediakan peluang pekerjaan.
  
"Kita akan kemukakan kepada pucuk pimpinan tertinggi parti bagi mencari jalan penyelesaian yang kukuh untuk menangani masalah tersebut," katanya. Bernama