Projek ini juga mampu menstabilkan permintaan rumah kos rendah yang semakin berlebihan.
SHAH ALAM: Selangor mensasarkan pembinaan 20,000 unit rumah mampu milik dengan harga tawaran sehingga RM150,000 dapat disediakan dalam tempoh lima tahun.
Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, antara lokasi pembinaan sesuai yang dikenal pasti termasuk di Shah Alam, Petaling Jaya, Subang Jaya, Sepang dan Kajang.
Projek rumah mampu milik itu akan dilaksanakan anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dengan kerjasama syarikat
mega termasuk Sime Darby, SP Setia, IOI Properties serta syarikat pemaju hartanah lain.
“Kita percaya dengan adanya pembikinan rumah mampu milik tetap dengan harga tidak melebihi RM150,000 akan menstabilkan harga hartanah di Selangor,” katanya selepas memperngerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini.
Menurut Abdul Khalid, hasil perbincangan dengan kerajaan negeri dan industri mendapat respon positif kerana pihak pemaju berpandangan ‘penawaran dan pembelian’ di Selangor masih belum ditahap stabil.
Katanya, projek ini juga mampu menstabilkan permintaan rumah kos rendah yang semakin berlebihan.
“Mereka bersetuju dan ingin ubah konsep rumah kos rendah kepada rumah mampu milik,” katanya.
Sementara itu, kerajaan negeri mengumumkan pemberian sumbangan kepada pemain bola keranjang kebangsaan, Jacky Ng Kiat Kee yang meninggal dunia akibat sakit jantung ketika menyertai satu kejohanan jemputan di China, pada 28 Julai lalu.
Exco Sukan,Belia Dan Adat Resam Melayu Dr Ahmad Yunus Hairi berkata RM5,000 jumlah sumbangan itu akan diserahkan kepada keluarga mendiang.
Beliau turut mengumumkan pemberian insentif kepada atlet olahraga paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli yang meraih emas dalam acara lontar peluru kategori F20 (masalah pembelajaran) lelaki dalam Kejohanan Olahraga Dunia IPC di Lyon, Perancis Julai lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan