JOHOR BAHRU - Bekas Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi bersedia mempertahankan jawatan dalam Majlis Tertinggi (MT) Umno pada pemilihan parti Oktober ini untuk meneruskan agenda dan perjuangan parti.

Biarpun tidak lagi menyandang sebarang jawatan dalam kerajaan, beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Batu Pahat berkata, ia tidak menghalangnya untuk bertanding bagi jawatan tersebut.

"Jawatan dalam Kabinet bukanlah tiket penting untuk menjadi anggota MT dan tidak semestinya mereka ada jawatan sahaja layak untuk bertanding, yang penting kita berani, ada idea dan mempunyai pandangan alternatif untuk kita sampaikan kepada parti dan kerajaan.

"Saya hendak mempertahankannya bukan sebab hendak panaskan tempat duduk dalam MT tetapi saya mahu menjadi seorang MT yang mampu menyemarakkan nilai tinggi dan menjadi suara kepada akar umbi," katanya kepada Bernama.

Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Batu Pahat turut menyifatkan MT sebagai satu platfom penting untuk mempengaruhi bukan sahaja dasar parti tetapi juga kerajaan.

Mohd Puad berkata, sejak dilantik MT sepenggal yang lalu, beliau amat berpuas hati dengan pencapaiannya yang banyak membangkitkan isu-isu bukan sahaja mengenai parti tetapi juga orang Melayu sehingga dikenali sebagai seorang pemimpin yang lantang bersuara di kalangan lawan dan kawan.

Mengulas tentang format baharu pemilihan Umno kali ini yang memberikan kuasa kepada 15,000 perwakilan untuk menentukan pimpinan parti, Mohd Puad berkata perubahan itu akan menjadikan Umno sebagai sebuah parti yang lebih telus dan akan terus releven.

"Saya optimis perubahan ini akan menjadi Umno parti yang lebih mudah melahirkan pemimpin pelapis baharu kerana akar umbi diberi hak untuk memilih pemimpin yang mereka yakini mampu mengemudi parti.

Menurutnya perubahan itu juga menunjukkan Umno sebagai sebuah parti yang berani menghadapi perubahan dan pemimpin-pemimpinnya juga tidak gentar jawatan yang disandang dipertandingkan dengan lebih terbuka.

Dalam masa yang sama beliau turut mengharapkan mereka yang terpilih menjadi pemimpin di peringkat cawangan dan bahagian, mahupun menjadi MT serta naib presiden supaya terus memperjuangkan Umno.

"Umno adalah parti perjuangan yang lahir dan terus bernyawa kerana ada matlamat perjuangannya. Siapa yang terpilih nanti kita harap mereka bukan sahaja mewarisi kepimpinan tetapi juga mewarisi dan memahami perjuangannya kerana jika tidak kita khuatir Umno akan tumbang suatu hari nanti," katanya. - Bernama