Selasa, 20 Ogos 2013
PKR bantah ugutan CCRIS PTPTN terhadap peminjam
PKR membantah tindakan kerajaan menyenaraikan peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di dalam Sistem Rujukan Maklumat Kredit Pusat (CCRIS) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) kerana siswazah dibebankan dengan kos sara hidup tinggi serta gaji yang rendah dan kini diugut pula untuk dinafikan hak memiliki rumah dan kereta.
Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli (gambar), berkata tindakan ini mempunyai kesan besar kepada generasi muda apabila maklumat peminjam disenaraikan di dalam CCRIS yang membolehkan institusi kewangan menambah rekod peminjam PTPTN sebagai kriteria baru menilai kedudukan kredit kewangan seseorang.
Menurut ahli Parlimen Pandan itu, ugutan PTPTN menyekat kemudahan pinjaman institusi kewangan ini bukan kali pertama perbadanan itu menggunakan cara kasar untuk menekan peminjam malah sebelum ini badan itu menyenaraihitamkan peminjam dalam senarai imigresen hingga menyukarkan mereka ke luar negara.
“Saya menentang sekeras-kerasnya tindakan PTPTN menyenaraikan peminjam di dalam CCRIS seperti dinyatakan Datuk Seri Idris Jusoh dan memberi amaran kepada beliau supaya tidak meneruskan niat untuk mengugut dan menghukum anak muda peminjam PTPTN.
“Ugutan terdahulu PTPTN tidak berjaya memperbaiki kedudukan kutipan hutang, maka ugutan terbaru menyenaraikan peminjam dalam CCRIS juga saya yakin tidak akan berkesan. PKR akan menggerakkan kempen di seluruh negara untuk menentang hasrat ini sehingga ia dibatalkan Barisan Nasional (BN),” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
The Malaysian Insider hari ini melaporkan Pertubuhan Pribumi Perkasa Kebangsaan (Perkasa) berkata tindakan menyenaraihitamkan peminjam di bawah CCRIS adalah penindasan kepada golongan belia Bumiputera.
Setiausaha Agungnya, Syed Hassan Syed Ali menjelaskan selain terus menghukum peminjam, yang majoritinya anak muda, tindakan diumumkan Idris itu juga akan menutup peluang belia Melayu dan Bumiputera menceburkan diri dalam perniagaan ekoran kesukaran mendapatkan pembiayaan institusi kewangan.
Katanya, kerajaan harus sedar bahawa rakyat sudah ada pilihan dengan memilih pihak yang memperjuangkan pinjaman itu dihapuskan atau pihak yang hendak menyenaraihitamkan mereka sambil menggesa kerajaan untuk mengumpulkan dari awal lagi kebencian rakyat kepada BN.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan