Beberapa pemimpin Umno mempertahankan polisi berdasarkan kaum dengan menjelaskan orang Melayu masih memerlukan bantuan.
Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Noh Omar berkata kerajaan berada
pada trek yang betul dengan mengamalkan polisi berasaskan kaum kerana
orang Melayu masih ketinggalan berbanding kaum lain di Malaysia.
Katanya, Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan bagi mengenalpasti ketidaksamaan sosial dan ekonomi pada awal 1970-an.
“Rusuhan kaum pada Mei 1969 akibat ketidakseimbangan ekonomi antara
kaum maka orang Melayu mesti diberi peluang bagi memastikan mereka
berdiri sama tinggi dengan kaum lain,” kata bekas Menteri Pertanian itu
hari ini.
Beliau mengulas kenyataan mantan Perdana Menteri Singapura Lee Kuan Yew
dalam buku terbaharunya, “One Man’s View of the World” yang
menghuraikan polisi berdasarkan kaum Putrajaya menyebabkan Malaysia
kehilangan tenaga pakar.
“Mereka bersedia kehilangan bakat tempatan bagi mengekalkan dominasi sesuatu kaum,” memetik ungkapan Lee dalam buku tersebut.
Beliau menjelaskan Singapura mendapat faedah sebanyak 40 peratus pekerja yang berhijrah dari Malaysia.
Noh berkata orang Melayu masih memerlukan sokongan dalam bidang pendidikan.
“Maka sistem pendidikan sedia ada perlu diteruskan,” ujar Ahli Parlimen Tanjung Karang itu kepada The Malaysian Insider.
Katanya, Singapura dan Malaysia tidak boleh dibandingkan kerana mempunyai dua landskap sosio-ekonomi yang berbeza.
Sementara itu, Ahli Parlimen Jerlun Datuk Othman Aziz berkata polisi
kerajaan bertujuan menyeimbangkan kepakaran dalam semua kaum.
“Ini supaya orang Melayu mampu bersaing dengan kaum lain,” katanya.
Othman berkata adalah tidak menghairankan warga Malaysia mencari
peluang yang lebih baik di luar negara dan itu tidak melambangkan negara
kurang tenaga pakar.
“Jika pakar tempatan yang menetap di luar negara enggan pulang ke
Malaysia, mereka yang berada di dalam negara masih mampu memenuhi
keperluan tempatan.
“Sesiapa sahaja pasti berminat dengan bayaran yang lumayan sama ada dalam atau luar negara,” katanya.
Walau bagaimanapun, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan
Tengku Mansor berkata kenyataan Lee tidak munasabah kerana kerajaan
kini dalam proses pembaharuan.
“Kami dalam proses memperbaiki kesilapan lalu di mana sebelum ini bakat
muda telah keluar meninggalkan Malaysia,” katanya semasa Majlis
Sambutan Aidilfitri di Putrajaya semalam.
“Tiada kerajaan di dunia ini yang begitu sempurna. Kerajaan Singapura
dan Malaysia pun begitu,” kata Setiausaha Agung Umno yang mahu melihat
akan adanya perubahan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan