Isnin, 19 Ogos 2013

Pemilihan bahagian: Wakil rakyat tidak wajar dicabar


KL TODAY

PETALING JAYA: Umno Selangor mencadangkan wakil rakyatnya yang menang kerusi parlimen dan kerusi dewan negeri tidak dicabar dalam pemilihan parti bulan Oktober depan. Mereka mewakili parti dan ahli perlu menghormati wakil-wakil rakyat berkenaan, kata Timbalan Ketua Perhubungan  Umno Selangor, Datuk Shukor Idrus.

“Mereka telah diterima oleh pengundi (rakyat), sangat wajar ahli Umno di Selangor ini memberikan kemenangan percuma kepada mereka.


“Tidak kiralah jawatan apa yang mereka tanding sama ada ketua bahagian, timbalan, naib dan ketua pemuda, mereka tidak perlu ditentang,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, Umno negeri tidak boleh menghalang  ahli bertanding serta mencabar ketua bahagian dan pemegang jawatan yang lain.

Tetapi terpulang kepada ahli untuk membuat keputusan bertanding dalam mesyuarat bahagian, kata Shukor lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, beberapa muka baru akan mencabar ketua bahagian sekarang tetapi Shukor menegaskan jumlah sebenar belum diketahui.


“Akan ada muka baru yang akan mencabar ketua bahagian dan kita di perhubungan Umno Selangor sedang memantau perkara ini,” tambah beliau yang juga Adun Kuang.

Antara kawasan yang dijangka berlaku pertandingan ketua bahagian ialah Sepang di mana penyandangnya iaitu bekas Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Mohmad Zain Mohamed kalah kepada calon PAS, Hanipa Maidin dalam pilihan raya umum lalu.

Kawasan lain termasuk Ampang di mana Ketua Bahagian Datuk Ismail Kijo tidak bertanding dalam pilihan raya umum 5 Mei lalu.

Tiada ulasan: